Kami mengalu-alukan anda memberi pendapat tentang majalah Anis dan menghantar karya berkualiti anda bersama-sama kami.E-melkan cadangan atau karya anda ke majalahanis@yahoo.com atau layari www.facebook.com/majalahanis

Rabu, 9 Januari 2013

Lemang Pos Laju

Seorang ustaz ke pasar tani membeli pelbagai barang dapur termasuklah sebatang lemang.Semasa membeli dia ditegur oleh seorang lelaki yang sedang duduk makan lemang dan rendang di gerai berkenaan. Lelaki itu mengenali ustaz tersebut kerana pernah menghadiri majlis pengajiannya. Sempat dia mengambil alamat ustaz tersebut atas tujuan untuk mudah bertanya hal-hal berkaitan agama.

Petang itu sedang ustaz menghadap hidangan berbuka puasa sunat Syawal, dia bertanya kepada isterinya, “mana lemang?”

 “Mana ada lemang,” jawab isteri kehairanan.

“Ada, pagi tadi saya ada beli sebatang.” “Tak ada…,” si isteri kebingungan. Maka berbukalah si suami dengan hidangan apa yang ada. Jauh di sudut hati tetap merasakan lemang itu tetap ada rezeki untuknya.

Dua hari berikutnya kelihatan posmen mundar-mandir di depan rumah. Lalu isteri ustaz itu keluar bertanya kalau-kalau ada yang boleh dibantu.

 “Kak, saya cari nama Ustaz Pauzi Awang?”

 “Rumah ni le…” “Anak akak ke?” tanya posmen. Isteri ustaz hanya mengangguk dengan tersenyum.

Tertera pada kotak selain alamat, sebuah nota: “Kepada Ustaz Pauzi, isteri, anak-anak dan keluarga, sila buka kotak ini hari ini juga.”

Ketika bungkusan itu sampai, Ustaz Pauzi tak ada di rumah. Bungkusan itu dirasakan berat. Masing-masing takut nak buka. Ada juga yang mengagak isi bungkusan itu lemang. Tapi ramai yang tak yakin.

Apabila ustaz pulang, mereka sekeluarga segera menyuruhnya membuka bungkusan itu. Alangkah terkejut semua yang ada, rupa-rupanya bungkusan yang berat itu memang berisi lemang. Dan ada nota di dalamnya, “Ustaz tertinggal barang ini, saya tolong simpankan.”

 Rupa-rupanya kenalan yang ditemui di gerai pasar tani Seksyen 17 itu yang mengirimkan bungkusan itu melalui pos laju. Bukan lemang saja malah disertakan juga dengan rendang. “Terima kasih, Shahnaz.”

Kata ustaz, sebaik mengetahui lemangnya tercicir, entah kenapa hatinya cukup yakin lemang itu pasti akan dapat jua. Berkat puasa di bulan Syawal, doa ketika berbuka itu Allah makbulkan. Antara waktu doa yang makbul ialah ketika berbuka iaitu antara azan dan iqamah. Sebab itu kita dituntut selepas berbuka dengan buah tamar, berdoalah yang baik-baik. Mudah-mudahan hidup kita diberkati.

 HANIM DAN FADZILAH 

 Pada hari terakhir majlis penutup Kem Hafazan Al-Quran anjuran majalah Asuh dan Aqrab, Ustaz Wan Bakar Wan Dagang, Pengarah Urusan Aqrab ketika makan tengah hari sempat bercerita pada kami, “Saya masih ingat lagi kenangan pada tahun 1987, ketika menganjurkan satu seminar di Genting Highlands, para peserta yang hadir suka sangat duduk di belakang-belakang. Lalu saya katakan kepada mereka, ‘Tuan-tuan dan puanpuan dijemput memenuhi kerusi yang kosong di depan ini sebab sebentar lagi penceramah bernama Hanim dan Fadzilah akan duduk di depan ini.’

” Semua peserta segera memenuhi bahagian depan. Acara hampir bermula, kelihatan para peserta seakan mencaricari sesuatu, meninjau-ninjau ke pintu utama.

“Ustaz, mana Hanim dan Fadzilah? Kenapa tak sampai-sampai lagi?”

“Yang di depan tuan-tuan dan puanpuan itulah Hanim dan Fadzilah.” Ustaz menunjukkan ke arah dua penceramah muda itu dengan senyum meleret. Terkejut semua yang hadir.Tidak disangka dua jejaka tampan yang masuk ke dewan baru sekejap tadi itu memiliki nama yang cukup unik, Mohd Hanim bin Mohd Tahir dan Mohd Fadzilah bin Kamsah.

 Dua puluh tahun sudah berlalu, kini Mohd. Hanim sudah bergelar Hj Mohd. Hanim dan Mohd. Fadzilah sudah bergelar Dato’ Dr. Hj Mohd. Fadzilah Kamsah. Kedua-dua rakan karib dan juga rakan kongsi perniagaan ini sudah terkenal. Mereka berjaya memotivasikan ribuan peserta pelbagai lapisan usia dan menubuhkan Excel Training & Consultancy berpusat di Bangi di bangunan setinggi tiga tingkat milik sendiri. Terkini sebuah pusat latihan bernama Excel Training Resort berkeluasan 16 ekar di Kampung Kapal, Broga, Ulu Beranang, Negeri Sembilan berjaya dibangunkan dengan duit titik peluh hasil ceramah yang disimpan berdikit-dikit tanpa membuat pinjaman dari bank.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan