Sebagai manusia kita tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Ada ketikanya pasti isteri terbuat salah yang melanggar perintah agama. Contohnya, keluar ke kawasan rumah menyidai kain tidak memakai tudung atau memakai baju yang mendedahkan aurat.
Kalau suami mendapati isterinya yang baru dikahwini itu melakukan kesalahan kerana terlupa, maka suami sepatutnya memaafkannya.
Berilah tunjuk ajar dengan cara baik agar perkara seumpama itu tidak berulang lagi. Maklumkan kepada isteri bahawa menutup aurat adalah wajib apabila membuat kerja-kerja di luar rumah. Banyak-banyak bersabar dalam mendidik. Firman allah s.w.t. bermaksud;
Sekiranya kamu bencikan mereka mungkin hanya kerana bencikan sesuatu perkara, tetapi Allah ciptakan pada dirinya banyak kebaikan lagi.” (An-Nisa’:19)
Ertinya kalau ada perangai-perangai isteri yang tidak disukai, tentu ada banyak lagi perangai isteri yang suami suka sehingga berjaya mendirikan rumah tangga dan diri suami sendiri pun rasa tenang setiap kali hendak keluar bekerja.
Oleh itu lupa-lupakanlah kesilapan yang tidak disengajakan dan raikanlah kebaikan isteri. Mudah-mudahan dengan cara itu akan mendorong isteri berbuat baik. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud;
Tegur dengan cara yang betul |
“Jangan sekali-kali seorang lelaki (suami) benci kepada seorang isterinya, kerana walaupun ada satu perangainya yang ia tidak suka, tetapi tentu) ada lagi perangainya yang ia sukai.” (Riwayat Ahmad dan Muslimin dari Abu Hurairah) Sebaliknya jika isteri masih melakukan kesalahan walau sudah dinasihati, ada tiga cara yang telah Allah perintahkan suami lakukan. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Wanita-wanita yang kamu takuti kedurhakaan mereka, nasihatilah mereka dan tinggalkan mereka di tempat-tempat tidur dan (jika itu pun tidak berhasil, pukullah mereka); tetapi jika mereka taat kepadamu, maka janganlah kamu cari-cari jalan buat menyusahkan mereka, sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi, Maha Besar.” (An -Nisa’: 34)
Sememangnya kalau hendak mendidik isteri mestilah banyak bersabar. Jangan terus dipukul tetapi biarlah diberi nasihat secara berperingkat-peringkat. Rasulullah s.a.w. bersabda; “Janganlah seorang dari antara kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, kemudian tidak malu mengadakan hubungan seks pada waktu malamnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) ✻
Semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa mendapat petunjuk dari Allah dan Rasul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan