Suami: “Sayang, jom tidur” Isteri: “Kejap la bang, kerja dapur saya banyak lagi, abang tidurlah dulu ya...”
Suami: “Alah, tinggalkan dulu, tidur sajalah rehatkan badan. Pagi esok bangun awal-awal sambung kerja itu.”
Inilah antara perbualan yang selalu kedengaran dalam rumah tangga. Suami sayangkan isteri, suruh isteri rehatkan diri tidur dulu dan sambung kerja pada awal pagi.
Si isteri pula tidak sanggup hendak tengok rumah bersepah, maka sedapat mungkin semua kerja rumah hendak dibereskan pada malam itu juga supaya besok senang hati ke tempat kerja.
Kedua-duanya punya niat yang baik. Suami mahu isteri rehat, isteri pula seronok rumah bersih. Di antara dua niat baik ini mana satu hendak didahulukan?
Ketika ditanya permasalahan ini kepada Ustaz Mohd Shukri Shamsudin, Imam Masjid Al-Ghufran, Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, beliau menjelaskan, “Isteri wajib patuh perintah suami. Kepatuhan kepada suami dalam urusan baik menjadi tunggak utama untuk jadi isteri solehah.Perkara ini nampak seperti ‘simple’, tapi kepatuhan ini berupa perintah Allah s.w.t. Tak boleh pandang remeh.”
Tujuan suami mahukan isteri masuk tidur awal kerana dia mahu isteri merehatkan diri setelah penat lelah bekerja seharian. Jika isteri hendak menyambung kerja selepas suami masuk tidur sendirian, mesti minta izin dan redha suami dulu.
Jika suami mengizinkan kerja kita itu, insya-Allah ia akan menjadi ibadah. Jika dia tidak redha, maka sia-sia saja kerja yang kita buat itu. Sudahlah penat tak dapat berkat pula.
Dalam hal ini, kepada para isteri, mari kita belajar untuk patuh pada perintah suami, walaupun mata tidak mahu lelap ketika merebahkan diri di sisi suami kerana sibuk memikirkan kerja-kerja yang tidak sudah. Mari kita belajar patuh tanpa banyak memprotes walaupun ada ketikanya dipanggil kita untuk tidur adalah kerana minta khidmat untuk diurut badannya. Baru beberapa minit badan dipicit suami sudah dibuai lena. Kita yang gembira dengan lenanya lalu menyambung kembali kerja-kerja rumah yang tak selesai.
Jaga tidur suami |
Peringatan dari Ustaz Shukri, “Haram seorang isteri meninggalkan suami yang sedang tidur tanpa izinnya, walaupun sekadar hendak menonton tv. Sebab itu kalau nak bangun juga minta izin awal-awal supaya isteri tak dapat dosa.
Para isteri disuruh muliakan suami sehinggakan kalau boleh masa tidur suami itu jangan dibiarkan terganggu. Cuba bayangkan dalam masa dia lena, isteri bangun perlahan-lahan tapi apabila suami beralih badan, diraba bantal sebelah dirasanya isterinya tiada. Ini juga sudah dikira mengganggu tidur suami. Kalau nak buat solat malam pun kena maklumkan pada suami terlebih dahulu sebab ia merupakan amalan sunat, apalagi kalau nak buat perkara yang harus. Isteri kalau sungguh-sungguh jaga yang wajib, insya-Allah mudah masuk syurga.” Begitu Allah meletakkan kemuliaan kepatuhan yang wajib isteri laksanakan pada suami.
Raikanlah waktu tidur suami. Didik anak menghormati waktu rehat ayahnya. Mudah-mudahan berkat menghormatinya, bangunnya kita di awal-awal pagi esoknya dalam keadaan segar-bugar dan dapat untuk menyambung kerja-kerja rumah yang tertangguh dengan baik.
Kesimpulannya, kesan isteri patuh pada suami, Allah rahmati, badan sihat, kerja rumah terurus, anak-anak mendengar kata berkat patuh pada suami dan suami sayang serta seluruh alam turut mendoakan buat kita. ✻
Tiada ulasan:
Catat Ulasan