Kami mengalu-alukan anda memberi pendapat tentang majalah Anis dan menghantar karya berkualiti anda bersama-sama kami.E-melkan cadangan atau karya anda ke majalahanis@yahoo.com atau layari www.facebook.com/majalahanis

Jumaat, 5 April 2013

SOLATLAH ANAKKU – JANGAN SIKSA KAMI DI KUBUR NANTI

Saat paling menyeronokkan apabila musim cuti sekolah dapat menghimpunkan adik-beradik dan  ahli keluarga terdekat serta anak-anak saudara  berkelah untuk  mandi manda. Walau kalian di bawa berkelah di tepi sungai yang dekat cuma setengah jam berkenderaan dari ibukota atau di tepi laut  di kampung kelahiran datuk dan nenek kita sekali pun tetapi  apabila sampai seruan masuknya waktu solat pasti  kalian serenek-renek insan  tidak akan dilupakan, biarpun terpaksa bersolat di atas seketul batu.

“Bolehkah kita solat basah-basah macam ni Mak Yong?” tanya anak saudaraku bernama Aufa Imaduddin Zuhairi ketika kami berkelah di Nur Laman Bestari, Ulu Yam tahun lalu.

Mudah-mudahan batu ini menjadi saksi hamba-Mu ini pernah bersujud di sini Ya Allah

“Boleh, asalkan menutup aurat dan tak nampak warna kulit badan,” jawab saya untuk menggembirakan hatinya yang tampak begitu asyik bermain air sehingga kecut-kecut kaki dan tangannya. Tampak  menyerlah kulit tubuhnya yang putih melepak itu. Anak-anak saudara perempuan pula diberi penerangan berkaitan kesopanan dalam berpakaian ketika bersolat di tempat awam sebegini.


Tiada Tuhan yang disembahkan melainkan Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah.

 Langkah demi langkah cara berwuduk di dalam air saya tunjukkan  kepada anak-anak saudara yang baru belajar bersolat di tempat perkelahan ini sehinggalah kepada cara solat dan panduan menentukan arah kiblat. Kenangan ini tidak mereka lupakan sampai bila-bila kerana setiap kali hendak pergi berkelah mereka akan menceritakan pengalaman ini dan membuat persediaan keperluan bersolat.


“Ya Allah jadikanlah kami anak soleh yang menjadi  penyejuk hati ibu dan  ayah.”
Apabila solat fardu sudah menjadi kewajipan maka dalam keadaaan uzur sekalipun pasti mesti dilaksana. Lebih hebat lagi bagi  merebut pahala berjemaah walau dalam keadaan uzur. Sesungguhnya keutamaan bagi seorang lelaki adalah solat jemaah di masjid walaupun pergi dalam keadaan bertongkat mahupun berpapah.

Dr. perubatan berimamkan petugas TH ketika berkhidmat di Mina pada musim haji 2008


 “Ya Allah jadikanlah kami hamba-Mu yang ikhlas beribadah dan setia mengekalkan solat jemaah.”
Mudah-mudahan dengan kesungguhan kalian menjaga solat bakal mencerahkan kehidupan kami di alam barzakh yang cukup panjang masanya dan yang penuh dengan azab siksaan buat orang yang pernah  ingkar perintah Allah di dunia.



“Ya Allah  jadikanlah kami insan yang sentiasa menjaga solat hingga akhir hayat.”


Rabu, 27 Mac 2013

Mencari Berkat Urus Jenazah


Setiap kali ada berita kematian di kalangan saudara mara dan sahabat lebih-lebih lagi para alim ulama, Tuan Hj Abu Hassan Morad, Pengarah Urusan Galeri Ilmu Media Group  sedapat mungkin akan cuba segera sampai ke destinasi. Mahu mengambil keberkatan menguruskan jenazah sedaya termampu, mahu mengaji, mahu solat Jenazah di barisan depan. 

Kalau boleh sedekat yang dapat dengan imam dan jenazah. Hanya kerana ingin merebut keberkatan memulia dan menguruskan jenazah  yang tinggi nilainya dididi Allah SWT. Dan yang terlebih utama yang selalu diperingatkan kepada kami, “apakah kita dapat mati sebaik mereka, apakah kita sempat  berbuat sebaik dan sebanyak mungkin  kerja-kerja dakwah? Buat kerja sungguh-sungguh, jangan banyak mengeluh, gaji di dunia tidak sebanyak mana. Nun jauh di akhirat sana Allah akan bagi gaji yang kekal syurga Jannah. Jangan bekerja kerana saya tapi bekerjalah kerana Allah.”







Foto: 26 Mac 2013 - ISTAC Taman Duta. Ziarah arwah Datuk Dr Uthman El-Muhammady.

Nikahkan Ayah


Anak menikahkan ayah itu perkara  yang biasa kita lihat. Tetapi apabila si anak menikahkan si ayah - jarang jarang. Ustaz Bukhari bin Haliah Bukhari, Imam 1 Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz Shah Kg. Sg. Pencala, Kuala Lumpur telah menikahkan sendiri ayahnya Haliah Abu Bakar dengan Nurhafizah  bersaksikan adik-beradik dan sanak saudara serta rakan taulan.

“Ni siapa yang ketar?” tanya saya kepada Imam Bukhari yang nampak sedikit gemuruh.
“Entahlah kak, selalunya saya menikahkan orang  taklah mandi peluh macam ni. Ketarnya lain macam,” jawab Ustaz Bukhari dalam senyum.

Alhamduliilah majlis berjalan lancar di penghujung tahun lalu. Suri hati adalah pilihan ayahanda Haliah sendiri. Anak-anak dan cucu meraikan. Apa yang penting ayah mereka gembira dan terjaga kebajikan makan pakai dalam melayari bahtera pada  usia yang masih bersisa. Gembira ibu ayah rahmat buat kita.

Imam Bukhari memberi taklimat kepada ayah.

Barang Hantaran

Haliah Abu Bakar dan Norhafizah

Semua senyum

Keluarga besar bersatu


Selasa, 26 Mac 2013

Perginya Seorang Tokoh Yang Kental Ilmu


 Di keheningan pagi yang redup 26 Mac 2013, warga Galeri Ilmu Media Group yang diketuai Tuan Hj Abu Hassan Morad berkesempatan ke ISTAC, Taman Duta menziarahi arwah Datuk Dr. Syeikh Muhammah Uthman El-Muhammady, Fellow Amat Utama Akademik ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikir dan Tamadun Islam) sebelum jenazah di bawa ke masjid UIAM, Gombak.

Perginya seorang  tokoh ilmuan, ulama yang sangat tawaduk yang tidak jemu-jemu memberi sokongan di atas penerbitan majalah  Q&A, ANIS , ASUH dan  buku-buku terbitan Galeri Ilmu Media Group. Bicara dan buah fikirannya sempat menjadi tatapan pembaca Q&A bil ke 5, 9 dan 10  di ruangan Jalan Tengah.
Masih teringat pesannya tujuh tahun lalu  yang cukup berbekas di hati, “Kehidupannya hari ini adalah berpaksikan kepada pesanan ayahnya agar beliau ‘ mencari ilmu yang dihormati dan hormat kepada orang yang berilmu’. (Majalah ANIS Mei, 2005)

Sanggup berbasikal dri Kelantan ke Kuala Lumpur hingga ke Pulau Pinang semata-mata mendapatkan buku-buku termasuk berkaitan tokoh pemikir, pelopor, pujangga Islam moden. Meminati kesusateraan Inggeris tertarik dengan karya dan cetusan idea Muhammad Iqbal. Ulama besar ini  terus menjelajah dunia ilmu dengan menyelusuri alam internet yang beliau sifatkan sebagai ‘kutub khanah terbesar di atas planet bumi’.




Semoga roh  suami  kepada  Datin Hajjah Mariam, bapa  kepada 12 anak dan datuk 40 cucu ini ditempatkan bersama barisan syuhada,  orang-orang  soleh yang  kekal di jannah. Al-Fatihah. – Jalilah Abdullah

Buku Terbaharu Saya dan Chef Faizal Ng Abdullah

Sumber: www.bukugaleri.blogspot.com


GB243 :  20 Secret Recipe Mi Cina
Penulis : Chef Faizal Ng Abdullah & Jalilah Abdullah
ISBN : 978-983-097-303-6
Tebal : Ms 64
Harga : RM 16.00/ RM 19.00

Benar, Chef Faizal Ng Abdullah (CNF) telah mencurahkan segala rahsia keenakan resepi mi Cina popular di dalam 20SECRET RECIPE MI CINA . Tiada ilmu masakan mi Cina yang disembunyikan. Bagi CFN ini jariah yang bakal dibawanya apabila kembali kepada Allah. Harapannya agar ia menjadi ilmu bermanfaat untuk sama-sama dipelajari oleh umat Islam.

Tidak mudah untuk pakar-pakar memasak mendedahkan rahsia masakan masing-masing, lebih-lebih lagi kepada mereka yang bukan daripada bangsa sendiri. Justeru, sebagai seorang Cina Muslim, CFN berasa bertanggungjawab berkongsi rahsia itu.

20 SECRET RECIPE MI CINA selain mengutarakan resipi daripada CFN, ia turut diberi sentuhan Islami oleh Jalilah Abdullah yang bergabung tenaga mengetengahkan tatacara penyediaan makanan yang dituntut syariat. Ia adalah cara menjemput keberkatan terhadap makanan yang disajikan untuk sesiapa sahaja.

Anda MESTI CUBA kesemua resepi Mi Cina yang popular ini. Memang terbukti lazat!

Jumaat, 15 Mac 2013

Tak Perlu Berbomoh Untuk Tambat Suami

Tidak sama sekali

Setiap yang kita cintai akan selalu disebut, sebagaimana cinta seorang kekasih dengan kekasihnya. Saling rindu merindui. Buat apa saja nampak kekasih hati di depan.Seronok menceritakan kebaikan kekasih hati kepada orang lain. Bukan niat untuk berbangga-bangga tapi sekadar mahu si pendengar berkongsi rasa. Seperti mana seorang suami yang kematian isteri yang sangat dikasihi, selalunya kepada si anaklah tempat si ayah meluahkan isi hati, “masakan emak kamu buat sedap, kopi emak buat sedap, apabila makan sambal belacan kamu buat ni, ayah teringat sambal belacan emak kamu.” Ada ketikanya kita jadi serba-salah kerana tak dapat nak buat sehebat sentuhan air tangan ibu kita. Kita kadang-kadang mencemburui kehebatan ibu kita yang memang tak dapat ditandingi. Itu adalah fitrah. Cemburu kepada ke arah kebaikan memang dituntut supaya kita menjadi orang yang lebih baik.

Pernah Sayidatina Aishah meluahkan isi hati kepada temannya tentang cemburunya dia pada Khadijah kerana Rasulullah SAW sering menyebut-menyebut nama dan kebaikan Khadijah, sedangkan Khadijah telah lama wafat. Kata Aishah r.a., “Mengenai Rasulullah tidak ada perempuan lain yang aku cemburui seperti cemburuku terhadap Khadijah, kerana aku sering mendengar beliau menyebutnya. Lagi pula beliau baru menikah denganku tiga tahun setelah Khadijah wafat.” (Riwayat Muslim)

Sehinggakan pada suatu hari sedang Aishah r.a. berbual-bual dengan Rasulullah, Aishah tidak dapat mengawal perasaanya apabila Rasulullah asyik berulangulangkali menyebut nama Khadijah sehingga Aishah terlepas kata, “Nenek-nenek dari Quraisy yang sudah tua yang anda sebut itu Allah sudah memberi penggantinya kepada anda dengan yang lebih baik.’ (Riwayat Muslim)

Ungkapan Aishah menjadikan wajah baginda merah padam lalu dijawab baginda, “Demi Allah, Allah tidak memberi kepadaku penggantinya yang lebih baik. Ia beriman kepadaku di kala semua orang mengingkari kenabianku. Ia membenarkan kenabianku sewaktu semua orang mendustakan diriku. Ia menyantuniku dengan harta di kala semua orang tidak mahu menolongku. Melalui dia Allah menganugerahi anak kepadaku, tidak pada isteri-isteri lain.”

Sejak peristiwa itu Aishah berjanji pada diri untuk menutup mulut dari menyebut nama Khadijah kerana hendak menjaga perasaan Rasulullah.

Dari sini kita belajar beradab dengan suami, menghormati siapa saja yang suami sayangi tanpa semestinya dengan sebab berpoligami. Adabnya siapa saja yang suami sayangi terutama anak-anak maka hargailah mereka. Janganlah nampak sahaja agak suami sudah tak berapa serasi dengan kita terus meletakkan bomoh sebagai penawar pelembut suami. Pada hal kita kena suluh diri kita dulu, apakah cinta kita sudah sehebat Khadijah binti Khuwalid.

Kemuliaan Khadijah memilih bersuamikan Muhammad bukan kerana gelaran Rasul tetapi dia meletakkan kemuliaan akhlak lelaki si anak yatim piatu itu yang utama. Setianya berbakti pada suami dalam berdandan rapi dan mendidik anak-anak, amanah suami serta meyakini kejujuran suami dalam urusan memperdagangkan harta meletakkan dia sebagai seorang wanita yag hebat. Walau dalam usia menginjak setengah abad sanggup memanjat Jabal Nur yang di puncaknya terletak Gua Hira’ tempat Nabi sering menyendiri.

Berjalan ia sejauh hampir 7 km dari Kota Makkah membawa makanan untuk suami. Bagaikan ibu yang risau anak kecil kelaparan. Bukit yang tinggi didaki, jika kini laluannya telah dipermudahkan pun kita mencungap naik anggaran 1 jam berjalan kaki, bayangkanlah kalau Ibu Mukminin bernama Khadijah. Tanpa berkenderaan, dulu batu-batunya cukup terjal, dikelilingi binatang berbisa, angin malam yang sejuk menyucuk tulang, bukit yang mencuram dalam gelap malam.

Andai hari ini jika kita menuruninya pasti perlu bersuluh dalam keadaan mengesot-mengesot. Curamnya di puncak memang mencemaskan, namun ketaatan dan keyakinannya pada kejujuran suami dalam mengangkat maruahnya bergelar isteri buat kali ketiga, semua kesusahan itu taat diredah. Khadijah berhati ibu, risau laparnya Nabi di dalam gua, bagaikan risaunya seorang ibu kepada anak yang tak makan. Mahu dia berkongsi rasa uzlah Nabi itu. Dia mahu tangannya sendiri yang memasak makanan. Lantas mempersembahkannya dengan cara terbaik untuk suami.

Letakkan diri kita ketika itu, apakah kita mampu berulangalik sejauh itu dari Kota Makkah ke Jabal Nur? Berkongsi hobi memancing yang terpaksa beralun dalam ombak di lautan pun kadang-kadang kita tak ingin. Itulah kita... Selayaknya Sayidatina Khadijah binti Khuwalid mendapat kiriman salam dari Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: Jibril datang kepada Nabi SAW, ia berkata, “Wahai Rasulullah, ini Khadijah telah datang membawa sebuah bekas berisi kuah, makanan dan minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikan kepadanyasalam dari Tuhannya dan beritahukan kepadanya tentang sebuah syurga, (terbuat) dari mutiara dan tiada suara bising di dalamnya dan tiada kepayahan.” (Riwayat Bukhari)

Selasa, 12 Mac 2013

Iktibar Peribadi Dato' Sarimah


Suatu pagi sampai sahaja ke pejabat saya menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengenalkan dirinya sebagai Taj Hanifah.

Ibu beranak empat berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini membantu suaminya menguruskan perniagaan menjual buku-buku. Ketika melahirkan anak keempatnya awal tahun lepas, dia diserang penyakit murung. Diri rasa betul-betul tertekan sehingga tidak dapat mengikut pantang dengan betul. Sekejap rasa marah, sekejap rasa benci pada anak yang dilahirkan. Ditambah pula selepas tamat pantang 40 hari dia terus membantu suami di kedai. Taj rasa masa rehatnya sangat terhad dengan segala urusan rumah tangga perlu diurus sendiri.

Lama juga dia mendapat tekanan, , pendek kata hidupnya bagaikan tak terurus. Dia menjual banyak majalah termasuk ANIS, sehinggalah dia terbaca artikel corat-coret saya yang bertajuk, ‘Dato’ Sarimah Yang Ku Kenal’, terbitan bulan Oktober, 2005. Cerita mengenai konsisten Dato’ Sarimah membaca al-Quran dan beribadah.

“Selepas menatap artikel itu berharihari saya termenung dan berfikir panjang mahu melawan trauma yang dialami dengan mencontohi amalan Dato’ Sarimah.

Sejak membaca kisahnya, saya cuba mendekatkan diri dengan Quran secara bersungguh-sungguh. Setiap
hari saya mesti baca Quran. Ada saja masa yang terluang, saya baca Quran dan fahami maknanya. Selama sebulan mengamalkannya saya rasa betul-betul tenang. Penyakit murung dan ketegangan saya hilang. Saya rasa makin dekat dengan anak-anak.

Seronoknya tak tahu nak kata,” ujar Taj dengan nada penuh keharuan. Sejak itu dia mula serius dengan
pengajian al-Quran dengan mencari guru untuk lebih memperkemaskan bacaan bertajwid di samping mendalami tuntutan al-Quran.

 Dalam Deritanya Tersimpul Senyuman!

Awal Jun lalu, saya, Kak Aliyah dan rakan-rakan sepejabat menziarahi Huraizah Zakaria, isteri arwah Salleh Ramli, penasyid kumpulan hijjaz yang juga merupakan artis grafik kami sejak ANIS mula diterbitkan. Arwah Salleh meninggal dunia hampir tujuh tahun lalu.

Lebih setahun saya tidak bertemu muka dengan Huraizah. Sejak kebelakangan ini dia begitu kurang sihat . Pertemuan yang telah lama kami rancang, akhirnya diizinkan Allah. Kami ke rumah ibu bapa Huraizah, di Alai, Melaka. Tak sangka badannya yang berisi suatu ketika dulu kini tinggal seberat 30kg. Terasa tulang badannya berketul-ketul ketika memeluknya.

Dia baring mengiring dengan mengerekotkan kedua-dua belah kakinya sehingga rapat ke dada. “Sejuk ke?” tanya kami.

“Tak, Zah memang selesa baring macam ni. Kalau baring terlentang sakit badan,” jawabnya penuh ceria menyambut kedatangan kami yang mengelilinginya di katil.

Doktor mengesahkan dia mengalami radang paru-paru dan kerap berulangalik ke hospital menerima rawatan.
Badannya menyusut begitu ketara sekali. Masanya banyak dihabiskan di dalam bilik dengan membaca dan
mengaji Quran. Dirinya tak berupaya duduk lama kerana terasa cukup sakit apabila tulang pinggul berlaga dengan benda keras.

Untuk berjalan perlu dipapah, mandi pun terpaksa duduk di atas kerusi. Solat selesa dalam keadaan duduk.
Syukurlah dia punya ibu dan ayah yang masih sihat dan ada pekerjaan tetap. Kasih- sayang yang tidak berbelah bagi dicurahkan oleh Puan Zainab dan En. Zakaria kepada anak sulungnya ini. Makan Huraizah disuapkan, mandi dijiruskan, pelajaran dan kebajikan dua cucunya yang bergelar anak yatim tidak pernah diabaikan. Bagi mereka memuliakan anak yatim sama seperti memuliakan Nabi SAW kerana Nabi juga anak yatim piatu sejak kecil lagi.

Tatkala salam berjabat untuk berpisah sekali lagi air mata kami tumpah apabila melihatkan Kak Aliyah begitu mudah mendukung Huraizah yang beratnya sama dengan anak sulungnya, Nur Hani Syafiqah binti Salleh yang sudah berusia 10 tahun. Semoga Allah kurniakan kesabaran yang tinggi buat keluarga ini.