Kami mengalu-alukan anda memberi pendapat tentang majalah Anis dan menghantar karya berkualiti anda bersama-sama kami.E-melkan cadangan atau karya anda ke majalahanis@yahoo.com atau layari www.facebook.com/majalahanis

Isnin, 28 Januari 2013

Mana Rumah Ustazah?


Jam 10.00 pagi tepat seperti mana yang dijanjikan, saya sampai di halaman rumah Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail Al-Kudsi. Loceng pagar ditekan. Tidak lama kemudian muncul seorang pembantu rumah.

“Assalamualaikum, saya ada temujanji dengan tuan rumah.” Pembantu itu segera masuk ke rumah. Pintu pagar elektronik dibuka. Saya dijemput masuk dan duduk di ruang tamu. Hiasan rumah sederhana tapi cantik. Penghuninya meminati warna perang.

Sambil menunggu kemunculan Ustazah, saya nampak sebuah gambar keluarga di satu sudut. Cantik. Anak-anak bergaun kembang.

“Ah, pasti gambar Ustazah masa kecil-kecil,” fikir saya. Hampir 15 minit saya menunggu, tuan rumah tetap tak muncul. Rumah sepi. Sementara mengisi masa terluang, saya menghubungi jurufoto saya untuk memaklumkan lokasi.

Saya pun mengulangi menyebut alamat rumah Ustazah, takut-takut dia tidak membawa alamat dari pejabat.
Oleh kerana saya mengambil cuti panjang hujung tahun, hari itu saya terus dari rumah, tidak beriringan dengan jurufoto dari pejabat.

Alangkah terkejutnya saya, rupanya rumah yang saya masuki itu bukan rumah Ustazah. Saya termasuk ke
rumah pertama di Jalan Pekaka 8/15, Kota Damansara, bukannya Jalan Pekaka 8/15G.

Bingkas saya bangun menuju ke dapur. “Bibik, siapa nama tuan rumah ini?”

Bibik itu menjawab, nyata bukan nama Ustzah Sharifah Hayaati dan dia pun tidak tahu di mana rumah Ustazah.

Segera saya memohon maaf dan minta dia sampaikan salam kemaafan kepada tuan rumah. Bibik menghantar saya ke pintu pagar.

Di lorong yang sama, saya terus mencari; rupanya tanda jalan ke rumah Ustazah terlindung oleh juntaian ranting selang tiga buah rumah dari rumah pertama tadi. Saya membelok ke kanan. Pemanduan saya perlahan sambil mengamati alamat yang tertera pada banglo berkembar dua tingkat itu.

“Sah, ini rumahnya.” Pagar rumah Ustazah terbuka sendiri. Ustazah yang berbaju kurung hijau lumut sedondon warna tudung menyambut saya dengan senyuman ramahnya.

“Maaflah Ustazah, terlewat. Termasuk rumah orang lain kat depan sana tu.” Kami sama-sama tergelak.
Ustaz Syed Zakaria Syed Hassan Al-Yahya keluar, “Ini mesti termasuk rumah depan tu, kan? Dulu pun krew RTM macam tu, salah masuk. Depa dah siap shoot, lepas tu baru sedar tersalah rumah. Tuan rumah tu dah faham sangat. Dia pun tak kisah…” Pengalaman ini cukup membuatkan saya lebih berhati-hati. ✻

Maknya Ke Tu?

Anugerah yang tidak ternilai
  

Ini cerita dari kawan-kawan saya yang makan tengah hari di sebuah gerai. Perut memang cukup lapar ditambah pula dengan lauk yang sedap benar-benar membuka selera. Tatkala hendak menyuap nasi ke mulut terpandang bayi kecil berbedung terletak di atas meja makan. Di hadapan bayi itu seorang remaja sedang melanguk menengok tv. “Kesiannya baby tu, merah padam panas terdongak. Macam baru lahir saja,” kata kawan saya.

Kawan-kawan yang lain pun terbantut menyuap nasi. Maklumlah masing-masing ada anak. Tersentuh
sungguh perasaan keibuan mereka. “Anak sapa tu?” ringan aje mulut kawan saya ini bertanya kepada pemilik kedai yang memang dikenali.

“Tu mak dia dok tengok tv tu. Dalam pantang tu. Baru 30 hari.” Nak tercekik kawan-kawan saya mendengarnya. Si ibu muda rupanya. “Astaghfirullah… belum habis pantang. Dah pakai seluar jeans dan
kemeja-T tanpa lengan.” Mengurut dada kawan saya mengawal lelahnya, takut-takut datang tak semena-mena. Ibu muda itu duduk depan tv membiarkan anaknya menggeliat kepanasan.

“Bawa balik le anak tu, panas tu…,” tegur kawan saya. Ibu itu diam. Beberapa hari kemudiannya kawan
saya ni dan gengnya makan di situ lagi. “Dukung cucu nampak?” usik kawan saya kepada nenek muda ini. “Apa nak buat, maknya entah bangun entah tidak lagi…” Dicium cucunya penuh kasih.

“Saya kahwinkan anak bujang saya dengan budak perempuan ni sebab tak mahu jadi perkara yang tak baik.
Dah diusung sana-sini, takut saya. Jadi kami uruskan kahwin. Ini anak keduanya. Anak pertamanya dah dua tahun.”

Sekali lagi kawan saya ni rasa naik pitam. Dicongak-congak umur ibu muda itu; rasa-rasanya masa mula kahwin dulu umurnya lima belas tahun.

Kawan saya bangga dengan sikap prihatin nenek muda ini mengambil langkah bijak untuk menyelamatkan anaknya dari berbuat maksiat. Katanya, walaupun anak dan menantunya masih tak matang, tak tahu cara nak urus baby kalau merengek, sakit dan demam, tidur pun dengan nenek, segala-galanya diurus oleh nenek,
apa yang penting biarlah pasangan itu menjalani kehidupan rumah tangga di depan matanya. Kedua-duanya pun bekerja dengannya di gerai makan.

Kami pun ada anak…. doa kami, dengan keprihatinan nenek muda dan atuk muda, Allah beri kekuatan dalam mendidik generasinya menjadi insan soleh. ✻

Tiada ulasan:

Catat Ulasan