Tak Boleh Tidur Memikirkan…
Apabila tersiarnya cerita tentang sebuah kampung yang penduduknya sudah lama tidak dapat makan daging korban, saya mendapat beberapa respons dari pembaca yang bersedia untuk sama-sama menyumbang termasuklah Kak Anis (Dr. Amida@ Hamidah Abdulhamid – kolumnis Semaian Kasih). Saya turut menerima panggilan dari seorang pembaca, Pn. Siti Aishah Ahmad, “Kak Aishah rasa tak boleh tidur memikirkan macam mana ada kampung di Malaysia yang masih tak dapat daging korban macam di Kemboja. Sebab itulah akak telefon Pn. Jalilah. Kak Aishah pernah susah…” Ibu tunggal berusia 54 tahun ini mengajar mata pelajaran sains dan kemahiran hidup di Sek. Keb. Dato’ Wan Mohd Saman, Alor Setar.
Saya menjangkakan persahabatan kami sekadar perbualan di corong telefon sahaja. Dua minggu kemudiannya dia hubungi saya, katanya mahu datang ke Kuala Lumpur untuk bertemu wakil pihak kampung berkenaan yang menetap di sini.
Pagi Jumaat, 1 Mac lalu saya diberitahu dia telah sampai ke rumah keluarga berkenaan. Mereka mengambilnya di Hentian Bas, Jalan Duta.
Sebelum ke tempat kerja saya singgah di rumah berkenaan. Walau tak pernah bersua muka tapi silaturrahim yang diikat di atas nama agama nyata membuatkan hati kami begitu dekat. Kemesraan yang terjalin bagaikan sudah bertahun kenal. Saya turut menjemputnya melawat pejabat Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan bertukar-tukar pandangan.
Wanita yang telah berpengalaman luas dalam dunia perguruan ini sanggup datang ke Kuala Lumpur subuh-subuh semata-mata mahu berkenalan lebih dekat dengan kami sebelum menyerahkan dana korban. Dia sanggup korbankan masa satu hari cuti pada hari Jumaat semata-mata atas rasa tanggungjawab ingin menunaikan haknya. Hak sebagai hamba Allah. Selesai urusan dan sempurna segala hajat, jam 5.30 petang dia memasuki perut bas ekspres Transnasional dengan lambaian penuh keharuan. Terima kasih ya Allah, Engkau kurniakan kami sahabatsahabat berhati mulia seperti ini yang tak pernah lupa diri walau kemewahan sudah menyaluti diri.
Semasa mengendalikan Bengkel Pusaka ANIS baru-baru ini, Ustaz Ghazali Ibrahim ada menceritakan pengalaman beliau bertemu dengan seorang wanita yang menguruskan mandi jenazah wanita.
Menurut cerita ustaz, selesai memandikan jenazah, wanita ini biasa dihadiahkan sebentuk cincin emas milik si mati. Cuba bayangkan jika sepanjang hidup wanita itu sudah menguruskan berpuluh-puluh jenazah, pastinya banyak sungguh cincin emas yang dimiliki sehingga tak muat disarungkan ke jari.
Memang benar, cincinnya sudah terlalu banyak sehinggakan ada yang telah diberi kepada anak cucu dan ada juga yang dijual. Ditakdirkan Allah, wanita ini mengikuti kursus pengurusan pusaka di sebuah tempat di Selangor yang dikendalikan oleh Ustaz Ghazali.
Wanita itu ajukan persoalan cincin emas tadi. Lalu ustaz menjawab, “Kita tidak boleh
ambil sebarang harta pusaka milik si mati sebelum semua urusan wasiatnya diselesaikan, walaupun sehelai kain batik milik arwah. Kecuali kalau kain batik baru yang dibeli dengan duit peribadi saudara-mara si mati atas niat untuk beri hadiah dan bukan dari duit si mati.”
Termenung wanita itu memikirkan selama ini dia banyak buat salah, mengambil harta yang bukan haknya. Kepada ustaz ditanyakan jalan penyelesaiannya. Kata ustaz, wanita itu perlu memulangkan semua cincin itu kepada waris-waris. Jika ada yang dijual hendaklah membuat anggaran harga dan serahkan wang itu kepada keluarga berkenaan.
“Selepas pemulangan itu, seandainya semua ahli keluarga si mati redha dan sepakat menghadiahkan kembali
kepada kakak, maka barulah cincin emas itu jadi milik kakak.”
Kepada kami yang hadir, dipesan sungguh-sungguh supaya berhati-hati menghadiri jamuan di rumah keluarga si mati, takut-takut kita termakan duit pusaka milik arwah yang belum selesai diagihkan kepada waris-waris. Sebaiknya jiran tetangga, saudara-mara sepakat menyempurnakan majlis itu dengan dana lain seperti mana yang disarankan dalam Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan