Pagi suatu hari Ahad, hujung bulan April lalu rumah Puan Aliyah Sijari didatangi tetamu yang tidak dikenali. Seorang pemandu teksi tiba-tiba mencari Abu Hassan Morad (Pengarah Urusan, Galeri Ilmu Sdn. Bhd.). “Abu Hassan Morad?” tanya Aliyah Sijari yang baru-baru ini memenangi anugerah Penulis Rencana Terbaik (Majalah ANIS) AMIN.
Penumpang teksi bersama merupakan sepasang suami isteri itu memberitahu mereka terjumpa kad jemputan kahwin di dalam beg pakaian. Rupa-rupanya pasangan ini telah tertukar beg di Hentian Bas, Jalan Duta subuhnya. Kad tersebut daripada Pn. Aliyah yang menjemput Tn. Hj. Abu Hassan ke majlis perkahwinan anaknya tidak lama dulu. Berpandukan alamat kediaman Pn. Aliyah yang tertera pada kad itulah mereka berusaha mencari Hj. Abu Hassan.
Bergegas Pn. Aliyah menghubungi Hj. Abu Hassan Morad. Dalam masa yang sama Pengarah Urusan kami itu turut mencari beg itu. Ketika dihubungi, dia berada di Hentian Bas, Jalan Duta. Beg itu sebenarnya milik ayah mentuanya, H.j Tahir bin Osman yang baru sampai dari Kedah. Entah macam mana boleh tertukar beg dengan pasangan tersebut mereka pun tak pasti.
Sepuluh minit kemudiannya Hj. Abu Hassan sampai ke rumah Pn. Aliyah. Wajah cemas masingmasing bertukar ceria. Pasangan itu rupanya akan menghadiri satu kursus bermula petang itu. Mereka dari Badan Pencegah Rasuah, Alor Star. Tutur bahasa dua pegawai muda ini cukup sopan dan sangat menyenangkan. Pertemuan bersejarah pagi itu tidak terhenti di situ sahaja kerana pada pagi itu pasangan tersebut tidak tahu hendak berehat di mana sementara menunggu petang. Hj. Abu Hassan membawa mereka ke pejabat kami, di Taman Tun Dr. Ismail untuk mandi-manda, bersarapan dan beristirahat.
Sebenarnya Hj. Abu Hassan cukup sibuk menyudahkan kerjakerja penyuntingan rancangan tv, tetapi kehadiran tetamu yang diyakini membawa berkat tetap dirai sebaiknya. Ayah mentuanya juga dititipkan seketika di pejabat sebelum dibawa ke rumahnya. Sepanjang proses menantu mencari beg itu di Hentian Bas, Jalan Duta, rupa-rupanya Hj. Tahir Osman tak putus-putus melakukan solat hajat minta beg yang hilang dapat dipulangkan kepada yang hak dan beg pakaiannya yang serupa itu kembali kepadanya.
Usaha ikhtiar yang bersulam akhlak dan doa yang tidak putusputus daripada semua pihak telah menawan hati pasangan Azwan dan Lina yang berasal dari Negeri Johor dan Pahang untuk menjadikan keluarga Hj. Abu Hassan Morad sebagai keluarga angkat mereka.
Biji Kacang Hijau
Kisah ini berlaku di utara tanah air, seorang guru kenalan saya menceritakan pengalamannya baru-baru ini. Suatu hari berlaku hujan lebat sebuah tanah perkuburan di panah petir. Habis semua kawasan perkuburan itu
terbakar kecuali satu kubur sahaja yang tidak terjejas.
Guru itu bertanya kepada ahli keluarga berkenaan, menurut cerita anak perempuannya arwah ibunya setiap hari mengamalkan surah al-Ikhlas (Qulhuwallah) pada masa yang terluang. Ayat itulah yang menjadi basahan lidahnya supaya diri rasa selalu kenyang dan kurang makan. Ibunya tidak menggunakan tasbih untuk berzikir sebaliknya butir-butir halus kacang hijau dijadikan alat teman untuk berzikrullah.
Si anak menunjukkan sebiji guni yang sarat biji-biji kacang hijau milik ibunya yang baru meninggal dunia. Ibunya akan mengisi biji-biji kacang yang sudah dizikirkan ke dalam guni itu.
Terpana seketika cikgu itu melihat sebiji guni tepung sarat isian kacang hijau. Subhanallah, walau wanita itu cuma seorang ibu tua yang tinggal di kampung, ketelitiannya dalam menjaga amalan istiqamah merupakan satu tamparan hebat buat kami yang mendengarnya.
Jadikan kisah benar ini sebagai iktibar. Tunaikanlah amal ibadah walau sekecil biji kacang hijau. Meskipun nampak kecil, jika dilakukan secara istiqamah, ganjaran yang dituai kelak pasti besar!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan