Kami mengalu-alukan anda memberi pendapat tentang majalah Anis dan menghantar karya berkualiti anda bersama-sama kami.E-melkan cadangan atau karya anda ke majalahanis@yahoo.com atau layari www.facebook.com/majalahanis

Rabu, 13 Februari 2013

Terima Pasangan Hidup Seadanya


KEPADA para gadis yang belum mendirikan rumah tangga pasti tercuit hati untuk memiliki suami yang kacak, berpendidikan, kaya dan ternama. Ini lumrah kehidupan. Tidak ada siapa yang mahu hidup susah atau dipandang hina.

Dalam melayari bahtera rumah tangga perkara-perkara seumpama ini perlu diambil kira. Usaha untuk menaik dan menjaga maruah diri serta kelurga memang perlu tapi mesti kena pada caranya.

Walau susah atau senang, kepada isteri atau bakal-bakal isteri perkara yang menjadi ‘pantang’ dalam hidup seorang suami ialah apabila isteri suka membanding-banding suami dengan orang lain.

Katakanlah anda dan suami sedang menonton filem Hindustan, muncul aktor-aktor kacak lalu anda pun dengan mata terbeliak dan melentuk-lentuk badan berkata pada suami, “Kalaulah abang macam Shah Rukh Khan… Oh romantiknya hidup saya.”

“Kalaulah abang handsome dan boleh jadi jutawan macam dia tu, melentik jari sajalah saya…”

Pasti antara jawapan suami ketika itu, “Oh saya ini tidak romantik? Jadi awak menyesallah kahwin dengan saya sebab tak kaya? Tak boleh nak lentik jari? Nak romantik sangat pergilah kahwin dengan dia tu. Belum tentu bahagia tau! Peminat dia keliling pinggang.”

Aduh! Jawapan yang cukup berbisa. Cemburu lelaki memang ketara. Itu baru wajah lelaki yang dilihat di kaca tv, apatah lagi kalau anda cuba membandingbandingkan suami dengan kawan-kawannya.

Setia Hingga Ke Syurga
Dia terlalu kecewa. Bagi suami bandingan itu bagaikan panah racun berbisa yang menjatuhkan maruahnya. Hatinya memendam rasa dan sangat berkecil hati.

Ketika itu mood santai suami yang hendak berehat-rehat di sisi isteri jadi panas membara. Muka masam mencuka. Dia angkat kaki masuk bilik tinggallah isteri seorang diri depan tv atau pun diselimutnya badan sampai ke kepala tak mahu dikacau.

Suami meleret senyum
Kepada bakal-bakal isteri dan isteri, sebaiknya ungkapkanlah kata-kata pujian yang lebih mendorong semangat kejantanan lelaki, contohnya; “Saya doakan abang lebih romantik, romantik macam Rasulullah dengan isterinya, Aisyah. Rasulullah main kejarkejar, dukung Aisyah…”

“Saya akan bantu abang jadi jutawan, saya doakan abang jadi jutawan macam Rasulullah. Kaya tapi suka beramal.”

Wah! Ungkapan ini akan buat hati suami berbunga senyum bangga dengan isteri yang dimiliki. Pasti isteri dipeluk erat. Walau tak ada ungkapan sayang yang terpacul di mulut suami tapi percayalah jauh di sudut hatinya tersemai azam bahawa mahu miliki peribadi baik semulia peribadi Rasulullah s.a.w. yang disayangi oleh semua makhluk.

Kesimpulannya, pantang lelaki dibandingkan dengan lelaki lain tapi kecuali Rasulullah s.a.w. Marilah kita sama-sama belajar untuk berhati-hati mengungkapkan kata-kata. Selalulah beri dorongan, pujian dan doa pada suami kerana kitalah orang yang paling rapat yang sangat-angat diharapkan untuk membantu mencapai matlamat hidup bahagia di dunia dan di akhirat.

Pesan Rasulullah kepada para isteri, selagi seorang wanita itu tidak melakukan tugasnya sebagai isteri, dia belum menjalankan tugasnya terhadap Allah s.w.t. Begitu jugalah keadaanya bagi seorang suami.Isteri juga tidak gembira jika suami gemar membanding bandingkan dirinya dengan wanita lain.

Isteri juga mempunyai perasaan dan maruah yang mesti dipelihara oleh seorang suami, sebagaimana seorang isteri memelihara perasaan suaminya. Isteti juga amat bangga apabila suaminya mendoakan untuk menjadi sehebat Sayidatina Khadijah, Aisyah atau Siti Fatimah.Kerana mereka adalah wanita-wanita hebat yang baik men jadi pendamping sejati Rasulullah s.a.w.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan