Kami mengalu-alukan anda memberi pendapat tentang majalah Anis dan menghantar karya berkualiti anda bersama-sama kami.E-melkan cadangan atau karya anda ke majalahanis@yahoo.com atau layari www.facebook.com/majalahanis

Rabu, 13 Februari 2013

10 PANDUAN JAUHI TABARRUJ


Perkara-perkara yang perlu dijaga untuk menjauhi berhias secara jahiliah.

Anda bagaimana?
 Untuk menjadi seorang wanita yang dipandang mulia di  sisi Allah dan Rasul, kita mesti kuatkan azam untuk bersungguh-sungguh menjaga adab sopan dan tata susila yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Termasuklah dalam berpakaian dan berhias.

Berikut adalah 10 perkara yang perlu dijaga untuk menjauhi tabarruj atau berhias secara jahiliah:



1 Menahan pandangan – tanda adanya sifat malu pada diri apabila setiap wanita menundukkan atau menahan pandangan ketika berhadapan dengan lelaki bukan muhrim. Apabila menahan pandangan (tidak memandang lelaki dengan mata galak) ketika berurusan dengan lelaki akan menyerlahkan kesopanan seseorang wanita itu. Suruhan menundukkan pandangan ini adalah perintah daripada Allah s.w.t. di dalam firman-Nya: “… dan katakanlah kepada wanitawanita yang beriman, supaya mereka menahan pandangannya!” (An-Nur: 30)

2 Jaga pergaulan. Elakkan bercampur-gaul, bersentuhsentuhan dengan lelaki yang bukan muhrim. Bahayanya jika sudah sekali ringan tangan untuk bertepuk-tampar, lama-lama akan menjadi kebiasaan. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud; “Kalau sampai ditusuk pada kepala seseorang kamu dengan jarum besi, itu adalah lebih baik daripada dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya.” (Riwayat Tabrani dan Baihaqi)

3 Memakai pakaian yang sopan sesuai dengan syariat.

a. Tutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan hingga pergelangan.

b. Longgar, tidak nipis, tidak jarang dan tidak singkat – Umpama trend sekarang memakai t-shirt lengan panjang tetapi bawah baju singkat di pinggang. Apabila terangkat saja lengan baju maka nampaklah pusat dan lurah pinggul. Memakai t-shirt ketat, berseluar panjang ketat, berkebaya ketat atau apa jua fesyen yang ketat walau tidak jarang, tidak menampakkan warna kulit tetapi secara jelas tetap menampakkan lekuk-lekuk bentuk badan seperti bentuk payu dara, pinggul dan paha maka hukum pemakaiannya tetap haram. Pakaian begini tetap dalam kategori cuba meraih pandangan giur lelaki.

c. Tidak jarang – Ramai wanita bertudung tapi tudungnya jarang sehingga menampakkan tengkuk, telinga dan dada. Kadang-kadang digandingkan dengan kebaya jarang yang menampakkan corset. Kita boleh memakai tudung jarang tetapi hendaklah dilapiskan dengan sehelai tudung lain di dalamnya supaya menutupi kepala hingga ke paras dada.. Kita boleh berkebaya jarang tetapi hendaklah longgar dipadankan dengan petticoat labuh yang menutup aurat hingga ke pergelangan tangan atau memakai skirt labuh atau kain susun depan yang tidak berbelah. Sayang sekali kalau membeli dan mengenakan pakaian yang mahalmahal tetapi tidak menepati syariat, sebaliknya mendapat laknat dari Allah.

4 Tegap berjalan – Apabila baju jarang dipadan dengan kain ketat, digandingkan pula dengan pemakaian kasut bertumit tinggi bertapak halus, ia akan menjadikan gaya jalan seorang wanita lebih ‘menonggek’. Ini akan menyerlahkan daya penariknya. Kepada lelaki, wanita sememangnya punya banyak daya penarik, ditambah pula dengan gaya jalan yang melintukliuk, fesyen pakaian yang ketat dan jarang, ia sangat menggiurkan nafsu syahwat lelaki yang memandang. 

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud; “Sesungguhnya termasuk ahli neraka ialah wanita wanita yang berpakaian separuh bogel (kerana memakai pakaian yang nipis atau yang menampakkan susuk badan), yang berjalan dengan berlenggang-lenggok (seperti jalan seorang pelacur), yang kepalanya terhunggak-hunggik laksana bonggol unta yang bergoyang-goyang. Wanitawanita itu tidak akan masuk syurga, sedangkan bau syurga itu akan tercium dalam jarak sekian dan sekian.” (Riwayat Muslim)

Kita boleh pakai kasut tumit tinggi tetapi sebaiknya untuk menjaga kesihatan diri pakailah kasut yang sederhana tinggi dan bertumit lebar. Jaga cara berjalan, jangan mendada bagai itik pulang petang. Sebaik caraberjalan ialah tundukkan sedikit kepala dan berjalan dengan langkah agak cepat (tegap). Cara berjalan begini dapat mengawal pergerakan badan dan mengelakkan tudung melekat di dada apabila ditiup angin.

5 Jangan menyerupai pakaian lelaki sehingga sukar membezakan jantina. Bagi wanita yang memakai seluar panjang dianjurkan longgar dan baju (blaus) yang dipakai sebaiknya longgar serta melepasi paras pinggul.

6 Tidak menyerupai pakaian orang kafir dari kaum Yahudi dan Nasrani seperti yang banyak dijual di pasaran sekarang ini. Islam menegaskan supaya penampilan kita berbeza dari mereka agar kita tidak bersubahat dengan mereka kerana Rasulullah dengan tegasnya mengingatkan dalam sabdanya, “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu maka akan dibangkitkan nanti bersama dengan kaum itu.” (Riwayat Tabrani)

7 Jaga tutur kata dalam berbicara. Kenal pasti tempat dan suasana ketika berbicara. Dengan suami, kita digalakkan bercakap dengan lemah-lembut tetapi di tempat kerja, bercakap di telefon dengan yang bukan muhrim atau dalam majlismajlis tertentu, bercakaplah dengan nada yang sederhana, bukan dengan nada manja. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “…jangan sampai kamu (wanita-wanita beriman itu) berlemah-lembut dalam bicaranya, sehingga menimbulkan keinginan dalam hati orang yang ada penyakit.” (Al-Ahzab: 32)

8 Jangan memakai minyak wangi yang terlalu harum dengan niat untuk memikat lelaki. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa wanita pun, apabila memakai wangian, lalu dia melintasi tempat duduk sekumpulan lelaki supaya mereka tercium baunya, maka dia samalah seperti wanita pelacur.” (Riwayat Nasa’i, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban) Gunakan pewangi yang sederhana baunya sekadar dapat menyegarkan bau badan dan orang selesa berinteraksi dengan kita. Wanita dibenarkan memakai haruman paling wangi kepada suaminya sahaja.

9 Jangan memakai aksesori tambahan yang berloceng (berbunyi) seperti gelang tangan, rantai leher, gelang kaki atau seumpamanya yang boleh menarik perhatian lelaki. Firman Allah s.w.t.: “…janganlah mereka (wanita-wanita beriman) itu menghentak hentakkan kakinya agar diketahui apa yang disembunyikannya dari perhiasan dirinya.” (An-Nur: 31)

10 Memakai solekan sederhana – Apabila keluar rumah atau bekerja, solekan di wajah hendaklah sederhana. Gunakanlah warna-warna yang lembut seperti warna-warna alam untuk menghiasi bibir, celak mata, bedak muka dan solekan di pipi supaya tampak kemas dan meyakinkan. Solekan terang hanya sesuai untuk dipamerkan di hadapan suami.

Dengan perlahan-lahan
Kesimpulannya, Islam tidak pernah menghalang wanita bercantik-cantik dan berhias untuk bergerak aktif di luar rumah mengikut bidang yang diharuskan oleh syarak sebagai usaha memajukan diri, keluarga dan negara. Begitu pun, dalam apa jua keadaan, kita wajib melaksanakan hukum Allah seperti mana yang ditegaskan di atas sebelum mahu bergelanggang di luar rumah. Mari kita sama-sama tegakkan syariat Allah supaya maruah wanita Islam dipandang mulia, hebat dan beroleh berkat di sisi Allah s.w.t.

TABARRUJ CARA JAHILIAH

Tabarruj menurut istilah bermaksud “terdedah” dan “boleh dilihat oleh semua mata”. Allah berfirman: “…dan janganlah kamu bertabarruj (berhias) seperti orang-orang jahiliah dahulu.” (Al-Ahzab: 33) Maksud tabarruj di dalam ayat ini adalah apabila seorang wanita sengaja mendedahkan dirinya kepada lelaki, dengan menampakkan kecantikan susuk badan dan rahsia dirinya.

Wanita ini memang bermaksud hendak menunjuknunjuk apa yang dia wajib sembunyikan daripada perhiasan dirinya. Kata Dr. Yusuf al-Qardhawi, “Boleh jadi pada wanita itu ada perkara yang wajib disembunyikannya; iaitu susuk badannya yang menggiurkan, atau gerakan tubuhnya yang menarik perhatian, atau cara berbicaranya, atau gaya jalannya yang memikat hati, atau barang-barang kemas yang dihiaskan dirinya, atau yang dipakainya sesuai dengan dirinya…” (Halal Dan Haram Dalam Islam, terjemahan) 

Dr. Yusuf al-Qardhawi juga memetik pandangan Muqatil tentang tabarruj iaitu “apabila seorang wanita meletakkan tudungnya di kepalanya, tetapi tidak diikatnya, sehingga kelihatan kalung yang dipakai di lehernya, anting-anting yang tergantung di daun telinganya, tengkuknya terdedah dan nampak oleh setiap orang yang melihatnya.” Itulah tabarruj cara jahiliah yang dilarang oleh Allah. Manakala berhias dalam konteks tajmir atau mengelokkan, dibolehkan selagi tidak termasuk dalam pengertian tabarruj tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan