Pernah belajar |
Allah s.w.t. menjadikan manusia
lahir tanpa seurat benang. Di dalam rahim ibu, bayi dilindungi oleh karung
tembuni, tetapi setelah dilahirkan berpisahlah ia dari karungnya. Keluar tanpa
seurat benang. Menangis kesejukan boleh mati kekejangan jika tidak segera
diselimuti dengan pakaian. Berbeza dengan kelahiran seekor binatang dari sejak dilahirkan
sehingga besar, binatang ini tidak memerlukan kepada pakaian.
Inilah yang membezakan antara
manusia dan binatang. Cara dan corak kita mengenakan pakaian juga membezakan
penampilan diri luar dan dalaman seseorang.
Di awal tahun 70-an, untuk
melihat wanita bertudung litup cukup sukar. Jika ada wanita yang mengenakan selendang
yang dililit ke tengkuk ketika itu sudah dianggap seorang yang cukup hebat dan
dihormati.
30 tahun berlalu, hari ini
rata-rata orang Islam memakai tudung dari kanakkanak sekolah sehinggalah kepada
yang dewasa. Lambakan jualan tudung dengan pelbagai jenama seakan tidak sempat
dikejar oleh kita. Cuma apa yang merisaukan, pemakaian tudung dan cara menutup
aurat di kalangan wanita muda remaja, sudah lebih ke arah mengejar ‘trend’
semasa.
Ramai bertudung, tapi masih
jarang. Ramai menutup rambut tapi tidak menutupnya hingga labuh ke paras dada. Ramai
juga yang bertudung tutup rambut, tutup tengkuk tapi masih tetap menonjolkan
bentuk payu dara dengan pakaian yang ketat, singkat hingga tanpa segan silu
boleh menampakkan pusat dan menampakkan lurah berbirat di belakang pinggang.
Seluar yang sepatutnya panjang sudah diangkat atau dilipat separas betis. Baju
selesa dipakai hingga ada yang menampakkan ketiak yang cuma dililit dengan
tudung panjang.
Aduh! Apa nak jadi dengan
generasi kita hari ini, mahu bersungguh-sungguh mengejar ‘trend’ berfesyen tapi
masih tak mahu bersungguh-sungguh untuk faham tentang hukum menutup aurat. Ramai
yang pakai kerana ikut-ikut atau kerana peraturan. Ada ketika bertutup litup, ada ketika tudung hilang
entah ke mana. Pakaian yang dipakai lebih kepada ikut rasa. Masih ada dalam
diri bisikan 50/50. Kehendak agama ambil separuh, kehendak nafsu tak ditinggal.
Maka lahirlah fesyen tutup ‘urat’ bukan tutup aurat...
Alangkah malangnya hidup kita
yang mahu bergaya dalam sangkaan sudah menutup aurat tapi masih mendapat laknat
Allah setiap hari kerana ramai yang berpakaian tapi masih bertelanjang kerana terlalu
jarang, ketat, singkat, berlebih-lebihan dalam solekan dan tidak menjaga batas
pergaulan.
Fokus ANIS bulan ini benar-benar mahu
mengajak pembaca menghayati teguran Sayidatina Aisyah rha, yang mahu kita
memahami bahawa Allah tidak hanya menurunkan kewajipan menutup aurat sekadar
hukum yang menyeksakan kaum wanita sematamata.
Tetapi Ummul Mukminin ini mengingatkan
bahawa Allah sangat memuliakan sehingga diajar ketertiban dalam berpakaian,
cara bergaul dan berhias bagi wanita mukmin untuk membezakan mereka dari wanita
yang tidak beriman serta bebas daripada ciri-ciri jahiliyah. Rayu saya pada
semua, sama-samalah kita menuntut ilmu untuk memahami tuntutan menutup aurat supaya
datangnya ketaatan kita itu dari rasa kehambaan yang dapat melawan bisikan
syaitan dan nafsu.
Takutilah dengan janji Allah di
dalam surah Al-Maidah ayat 44 hingga 47 yang menjelaskan bahawa orang yang
engkar dengan hukumnya akan jatuh kepada salah satu daripada tiga golongan
sama ada kafir, zalim atau fasik. ✻
Tiada ulasan:
Catat Ulasan