Tidak sama sekali |
Setiap
yang kita cintai akan selalu disebut, sebagaimana cinta seorang kekasih dengan kekasihnya. Saling
rindu merindui. Buat apa saja nampak kekasih hati di depan.Seronok menceritakan
kebaikan kekasih hati kepada orang lain. Bukan niat untuk berbangga-bangga tapi
sekadar mahu si pendengar berkongsi rasa. Seperti mana seorang suami yang
kematian isteri yang sangat dikasihi, selalunya kepada si anaklah tempat si
ayah meluahkan isi hati, “masakan emak kamu buat sedap, kopi emak buat sedap,
apabila makan sambal belacan kamu buat ni, ayah teringat sambal belacan emak
kamu.” Ada ketikanya kita jadi serba-salah kerana tak dapat nak buat sehebat sentuhan
air tangan ibu kita. Kita kadang-kadang mencemburui kehebatan ibu kita yang memang
tak dapat ditandingi. Itu adalah fitrah. Cemburu kepada ke arah kebaikan memang
dituntut supaya kita menjadi orang yang lebih baik.
Pernah Sayidatina Aishah
meluahkan isi hati kepada temannya tentang cemburunya dia pada Khadijah kerana Rasulullah
SAW sering menyebut-menyebut nama dan kebaikan Khadijah, sedangkan Khadijah
telah lama wafat. Kata Aishah r.a., “Mengenai Rasulullah tidak ada
perempuan lain yang aku cemburui seperti cemburuku terhadap
Khadijah, kerana aku sering mendengar beliau menyebutnya. Lagi
pula beliau baru menikah denganku tiga tahun setelah Khadijah
wafat.” (Riwayat Muslim)
Sehinggakan pada
suatu hari sedang Aishah r.a. berbual-bual dengan Rasulullah, Aishah tidak
dapat mengawal perasaanya apabila Rasulullah asyik berulangulangkali menyebut
nama Khadijah sehingga Aishah terlepas kata, “Nenek-nenek dari Quraisy
yang sudah tua yang anda sebut itu Allah sudah memberi penggantinya
kepada anda dengan yang lebih baik.’ (Riwayat Muslim)
Ungkapan Aishah
menjadikan wajah baginda merah padam lalu dijawab baginda, “Demi Allah,
Allah tidak memberi kepadaku penggantinya yang lebih baik. Ia
beriman kepadaku di kala semua orang mengingkari kenabianku.
Ia membenarkan kenabianku sewaktu semua orang mendustakan diriku.
Ia menyantuniku dengan harta di kala semua orang tidak mahu
menolongku. Melalui dia Allah menganugerahi anak kepadaku,
tidak pada isteri-isteri lain.”
Sejak peristiwa itu Aishah
berjanji pada diri untuk menutup mulut dari menyebut nama Khadijah kerana hendak
menjaga perasaan Rasulullah.
Dari sini kita
belajar beradab dengan suami, menghormati siapa saja yang suami sayangi tanpa semestinya
dengan sebab berpoligami. Adabnya siapa saja yang suami sayangi terutama
anak-anak maka hargailah mereka. Janganlah nampak sahaja agak suami sudah tak
berapa serasi dengan kita terus meletakkan bomoh sebagai penawar pelembut
suami. Pada hal kita kena suluh diri kita dulu, apakah cinta kita sudah sehebat
Khadijah binti Khuwalid.
Kemuliaan Khadijah
memilih bersuamikan Muhammad bukan kerana gelaran Rasul tetapi dia meletakkan
kemuliaan akhlak lelaki si anak yatim piatu itu yang utama. Setianya berbakti
pada suami dalam berdandan rapi dan mendidik anak-anak, amanah suami serta
meyakini kejujuran suami dalam urusan memperdagangkan harta meletakkan dia
sebagai seorang wanita yag hebat. Walau dalam usia menginjak setengah abad sanggup
memanjat Jabal Nur yang di puncaknya terletak Gua Hira’ tempat Nabi sering
menyendiri.
Berjalan ia sejauh
hampir 7 km dari Kota Makkah membawa makanan untuk suami. Bagaikan ibu yang
risau anak kecil kelaparan. Bukit yang tinggi didaki, jika kini laluannya telah
dipermudahkan pun kita mencungap naik anggaran 1 jam berjalan kaki,
bayangkanlah kalau Ibu Mukminin bernama Khadijah. Tanpa berkenderaan, dulu batu-batunya
cukup terjal, dikelilingi binatang berbisa, angin malam yang sejuk menyucuk
tulang, bukit yang mencuram dalam gelap malam.
Andai hari ini jika
kita menuruninya pasti perlu bersuluh dalam keadaan mengesot-mengesot. Curamnya
di puncak memang mencemaskan, namun ketaatan dan keyakinannya pada kejujuran
suami dalam mengangkat maruahnya bergelar isteri buat kali ketiga, semua kesusahan
itu taat diredah. Khadijah berhati ibu, risau laparnya Nabi di dalam gua,
bagaikan risaunya seorang ibu kepada anak yang tak makan. Mahu dia berkongsi rasa
uzlah Nabi itu. Dia mahu tangannya sendiri yang memasak makanan. Lantas mempersembahkannya
dengan cara terbaik untuk suami.
Letakkan diri kita
ketika itu, apakah kita mampu berulangalik sejauh itu dari Kota Makkah ke Jabal
Nur? Berkongsi hobi memancing yang terpaksa beralun dalam ombak di lautan pun
kadang-kadang kita tak ingin. Itulah kita... Selayaknya Sayidatina Khadijah
binti Khuwalid mendapat kiriman salam dari Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
Jibril datang kepada Nabi SAW, ia berkata, “Wahai Rasulullah, ini
Khadijah telah datang membawa sebuah bekas berisi
kuah, makanan dan minuman. Apabila dia datang
kepadamu, sampaikan kepadanyasalam
dari Tuhannya dan beritahukan kepadanya tentang sebuah syurga, (terbuat) dari
mutiara dan tiada suara bising di dalamnya dan tiada kepayahan.” (Riwayat
Bukhari) ✻
Tiada ulasan:
Catat Ulasan