Kami mengalu-alukan anda memberi pendapat tentang majalah Anis dan menghantar karya berkualiti anda bersama-sama kami.E-melkan cadangan atau karya anda ke majalahanis@yahoo.com atau layari www.facebook.com/majalahanis

Khamis, 31 Januari 2013

Cincin Emas Si Mati


Tak Boleh Tidur Memikirkan…

Apabila tersiarnya cerita tentang sebuah kampung yang penduduknya sudah lama tidak dapat makan daging korban, saya mendapat beberapa respons dari pembaca yang bersedia untuk sama-sama menyumbang termasuklah Kak Anis (Dr. Amida@ Hamidah Abdulhamid – kolumnis Semaian Kasih). Saya turut menerima panggilan dari seorang pembaca, Pn. Siti Aishah Ahmad, “Kak Aishah rasa tak boleh tidur memikirkan macam mana ada kampung di Malaysia yang masih tak dapat daging korban macam di Kemboja. Sebab itulah akak telefon Pn. Jalilah. Kak Aishah pernah susah…” Ibu tunggal berusia 54 tahun ini mengajar mata pelajaran sains dan kemahiran hidup di Sek. Keb. Dato’ Wan Mohd Saman, Alor Setar.

Saya menjangkakan persahabatan kami sekadar perbualan di corong telefon sahaja. Dua minggu kemudiannya dia hubungi saya, katanya mahu datang ke Kuala Lumpur untuk bertemu wakil pihak kampung berkenaan yang menetap di sini.

Pagi Jumaat, 1 Mac lalu saya diberitahu dia telah sampai ke rumah keluarga berkenaan. Mereka mengambilnya di Hentian Bas, Jalan Duta.

Sebelum ke tempat kerja saya singgah di rumah berkenaan. Walau tak pernah bersua muka tapi silaturrahim yang diikat di atas nama agama nyata membuatkan hati kami begitu dekat. Kemesraan yang terjalin bagaikan sudah bertahun kenal. Saya turut menjemputnya melawat pejabat Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan bertukar-tukar pandangan. 

Wanita yang telah berpengalaman luas dalam dunia perguruan ini sanggup datang ke Kuala Lumpur subuh-subuh semata-mata mahu berkenalan lebih dekat dengan kami sebelum menyerahkan dana korban. Dia sanggup korbankan masa satu hari cuti pada hari Jumaat semata-mata atas rasa tanggungjawab ingin menunaikan haknya. Hak sebagai hamba Allah. Selesai urusan dan sempurna segala hajat, jam 5.30 petang dia memasuki perut bas ekspres Transnasional dengan lambaian penuh keharuan. Terima kasih ya Allah, Engkau kurniakan kami sahabatsahabat berhati mulia seperti ini yang tak pernah lupa diri walau kemewahan sudah menyaluti diri.

Semasa mengendalikan Bengkel Pusaka ANIS baru-baru ini, Ustaz Ghazali Ibrahim ada menceritakan pengalaman beliau bertemu dengan seorang wanita yang menguruskan mandi jenazah wanita.

Menurut cerita ustaz, selesai memandikan jenazah, wanita ini biasa dihadiahkan sebentuk cincin emas milik si mati. Cuba bayangkan jika sepanjang hidup wanita itu sudah menguruskan berpuluh-puluh jenazah, pastinya banyak sungguh cincin emas yang dimiliki sehingga tak muat disarungkan ke jari.

Memang benar, cincinnya sudah terlalu banyak sehinggakan ada yang telah diberi kepada anak cucu dan ada juga yang dijual. Ditakdirkan Allah, wanita ini mengikuti kursus pengurusan pusaka di sebuah tempat di Selangor yang dikendalikan oleh Ustaz Ghazali.

Wanita itu ajukan persoalan cincin emas tadi. Lalu ustaz menjawab, “Kita tidak boleh
ambil sebarang harta pusaka milik si mati sebelum semua urusan wasiatnya diselesaikan, walaupun sehelai kain batik milik arwah. Kecuali kalau kain batik baru yang dibeli dengan duit peribadi saudara-mara si mati atas niat untuk beri hadiah dan bukan dari duit si mati.”

Termenung wanita itu memikirkan selama ini dia banyak buat salah, mengambil harta yang bukan haknya. Kepada ustaz ditanyakan jalan penyelesaiannya. Kata ustaz, wanita itu perlu memulangkan semua cincin itu kepada waris-waris. Jika ada yang dijual hendaklah membuat anggaran harga dan serahkan wang itu kepada keluarga berkenaan.

“Selepas pemulangan itu, seandainya semua ahli keluarga si mati redha dan sepakat menghadiahkan kembali
kepada kakak, maka barulah cincin emas itu jadi milik kakak.” 

Kepada kami yang hadir, dipesan sungguh-sungguh supaya berhati-hati menghadiri jamuan di rumah keluarga si mati, takut-takut kita termakan duit pusaka milik arwah yang belum selesai diagihkan kepada waris-waris. Sebaiknya jiran tetangga, saudara-mara sepakat menyempurnakan majlis itu dengan dana lain seperti mana yang disarankan dalam Islam.


Menegur Isteri Pun Ada Cara

Sebagai manusia kita tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Ada ketikanya pasti isteri terbuat salah yang melanggar perintah agama. Contohnya, keluar ke kawasan rumah menyidai kain tidak memakai tudung atau memakai baju yang mendedahkan aurat.

Kalau suami mendapati isterinya yang baru dikahwini itu melakukan kesalahan kerana terlupa, maka suami sepatutnya memaafkannya.

Berilah tunjuk ajar dengan cara baik agar perkara seumpama itu tidak berulang lagi. Maklumkan kepada isteri bahawa menutup aurat adalah wajib apabila membuat kerja-kerja di luar rumah. Banyak-banyak bersabar dalam mendidik. Firman allah s.w.t. bermaksud;

Sekiranya kamu bencikan mereka mungkin hanya kerana bencikan sesuatu perkara, tetapi Allah ciptakan pada dirinya banyak kebaikan lagi.” (An-Nisa’:19)

Ertinya kalau ada perangai-perangai isteri yang tidak disukai, tentu ada banyak lagi perangai isteri yang suami suka sehingga berjaya mendirikan rumah tangga dan diri suami sendiri pun rasa tenang setiap kali hendak keluar bekerja.

Oleh itu lupa-lupakanlah kesilapan yang tidak disengajakan dan raikanlah kebaikan isteri. Mudah-mudahan dengan cara itu akan mendorong isteri berbuat baik. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud;

Tegur dengan cara yang betul

“Jangan sekali-kali seorang lelaki (suami) benci kepada seorang isterinya, kerana walaupun ada satu perangainya yang ia tidak suka, tetapi tentu) ada lagi perangainya yang ia sukai.” (Riwayat Ahmad dan Muslimin dari Abu Hurairah) Sebaliknya jika isteri masih melakukan kesalahan walau sudah dinasihati, ada tiga cara yang telah Allah perintahkan suami lakukan. Firman Allah s.w.t. bermaksud:

“Wanita-wanita yang kamu takuti kedurhakaan mereka, nasihatilah mereka dan tinggalkan mereka di tempat-tempat tidur dan (jika itu pun tidak berhasil, pukullah mereka); tetapi jika mereka taat kepadamu, maka janganlah kamu cari-cari jalan buat menyusahkan mereka, sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi, Maha Besar.” (An -Nisa’: 34)

Sememangnya kalau hendak mendidik isteri mestilah banyak bersabar. Jangan terus dipukul tetapi biarlah diberi nasihat secara berperingkat-peringkat. Rasulullah s.a.w. bersabda; “Janganlah seorang dari antara kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, kemudian tidak malu mengadakan hubungan seks pada waktu malamnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) ✻

Semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa mendapat petunjuk dari Allah dan Rasul.



Isnin, 28 Januari 2013

Mana Rumah Ustazah?


Jam 10.00 pagi tepat seperti mana yang dijanjikan, saya sampai di halaman rumah Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail Al-Kudsi. Loceng pagar ditekan. Tidak lama kemudian muncul seorang pembantu rumah.

“Assalamualaikum, saya ada temujanji dengan tuan rumah.” Pembantu itu segera masuk ke rumah. Pintu pagar elektronik dibuka. Saya dijemput masuk dan duduk di ruang tamu. Hiasan rumah sederhana tapi cantik. Penghuninya meminati warna perang.

Sambil menunggu kemunculan Ustazah, saya nampak sebuah gambar keluarga di satu sudut. Cantik. Anak-anak bergaun kembang.

“Ah, pasti gambar Ustazah masa kecil-kecil,” fikir saya. Hampir 15 minit saya menunggu, tuan rumah tetap tak muncul. Rumah sepi. Sementara mengisi masa terluang, saya menghubungi jurufoto saya untuk memaklumkan lokasi.

Saya pun mengulangi menyebut alamat rumah Ustazah, takut-takut dia tidak membawa alamat dari pejabat.
Oleh kerana saya mengambil cuti panjang hujung tahun, hari itu saya terus dari rumah, tidak beriringan dengan jurufoto dari pejabat.

Alangkah terkejutnya saya, rupanya rumah yang saya masuki itu bukan rumah Ustazah. Saya termasuk ke
rumah pertama di Jalan Pekaka 8/15, Kota Damansara, bukannya Jalan Pekaka 8/15G.

Bingkas saya bangun menuju ke dapur. “Bibik, siapa nama tuan rumah ini?”

Bibik itu menjawab, nyata bukan nama Ustzah Sharifah Hayaati dan dia pun tidak tahu di mana rumah Ustazah.

Segera saya memohon maaf dan minta dia sampaikan salam kemaafan kepada tuan rumah. Bibik menghantar saya ke pintu pagar.

Di lorong yang sama, saya terus mencari; rupanya tanda jalan ke rumah Ustazah terlindung oleh juntaian ranting selang tiga buah rumah dari rumah pertama tadi. Saya membelok ke kanan. Pemanduan saya perlahan sambil mengamati alamat yang tertera pada banglo berkembar dua tingkat itu.

“Sah, ini rumahnya.” Pagar rumah Ustazah terbuka sendiri. Ustazah yang berbaju kurung hijau lumut sedondon warna tudung menyambut saya dengan senyuman ramahnya.

“Maaflah Ustazah, terlewat. Termasuk rumah orang lain kat depan sana tu.” Kami sama-sama tergelak.
Ustaz Syed Zakaria Syed Hassan Al-Yahya keluar, “Ini mesti termasuk rumah depan tu, kan? Dulu pun krew RTM macam tu, salah masuk. Depa dah siap shoot, lepas tu baru sedar tersalah rumah. Tuan rumah tu dah faham sangat. Dia pun tak kisah…” Pengalaman ini cukup membuatkan saya lebih berhati-hati. ✻

Maknya Ke Tu?

Anugerah yang tidak ternilai
  

Ini cerita dari kawan-kawan saya yang makan tengah hari di sebuah gerai. Perut memang cukup lapar ditambah pula dengan lauk yang sedap benar-benar membuka selera. Tatkala hendak menyuap nasi ke mulut terpandang bayi kecil berbedung terletak di atas meja makan. Di hadapan bayi itu seorang remaja sedang melanguk menengok tv. “Kesiannya baby tu, merah padam panas terdongak. Macam baru lahir saja,” kata kawan saya.

Kawan-kawan yang lain pun terbantut menyuap nasi. Maklumlah masing-masing ada anak. Tersentuh
sungguh perasaan keibuan mereka. “Anak sapa tu?” ringan aje mulut kawan saya ini bertanya kepada pemilik kedai yang memang dikenali.

“Tu mak dia dok tengok tv tu. Dalam pantang tu. Baru 30 hari.” Nak tercekik kawan-kawan saya mendengarnya. Si ibu muda rupanya. “Astaghfirullah… belum habis pantang. Dah pakai seluar jeans dan
kemeja-T tanpa lengan.” Mengurut dada kawan saya mengawal lelahnya, takut-takut datang tak semena-mena. Ibu muda itu duduk depan tv membiarkan anaknya menggeliat kepanasan.

“Bawa balik le anak tu, panas tu…,” tegur kawan saya. Ibu itu diam. Beberapa hari kemudiannya kawan
saya ni dan gengnya makan di situ lagi. “Dukung cucu nampak?” usik kawan saya kepada nenek muda ini. “Apa nak buat, maknya entah bangun entah tidak lagi…” Dicium cucunya penuh kasih.

“Saya kahwinkan anak bujang saya dengan budak perempuan ni sebab tak mahu jadi perkara yang tak baik.
Dah diusung sana-sini, takut saya. Jadi kami uruskan kahwin. Ini anak keduanya. Anak pertamanya dah dua tahun.”

Sekali lagi kawan saya ni rasa naik pitam. Dicongak-congak umur ibu muda itu; rasa-rasanya masa mula kahwin dulu umurnya lima belas tahun.

Kawan saya bangga dengan sikap prihatin nenek muda ini mengambil langkah bijak untuk menyelamatkan anaknya dari berbuat maksiat. Katanya, walaupun anak dan menantunya masih tak matang, tak tahu cara nak urus baby kalau merengek, sakit dan demam, tidur pun dengan nenek, segala-galanya diurus oleh nenek,
apa yang penting biarlah pasangan itu menjalani kehidupan rumah tangga di depan matanya. Kedua-duanya pun bekerja dengannya di gerai makan.

Kami pun ada anak…. doa kami, dengan keprihatinan nenek muda dan atuk muda, Allah beri kekuatan dalam mendidik generasinya menjadi insan soleh. ✻

Selasa, 22 Januari 2013

SEDAP @ SIHAT?

Sesekali menjamah sup tulang memang cukup menyelerakan, terasa pecah peluh apabila dicampur dengan sambal kicap. Pecah peluh tak bererti selamat dari kolesterol. Daging merah dan sup tulang kaya lemak tepu. Sambil menjamah hidangan jangan abaikan langkah pencegahan antaranya;

1. Kawal diri dari menjamah sup yang baru dimasak kerana lemak yang cair kaya bertepu. Sejukkan dulu sup, buangkan lemak yang terapung membeku.

2. Jika sup disimpan dalam peti sejuk, lemak tepunya akan lebih mudah dibuang. Selepas itu cairkankan kembali kuah sup.

3. Pastikan setiap hidangan sup disertai dengan perahan limau nipis atau lemon. Walaupun rasanya agak kurang enak tetapi kaedah ini dapat mengurangkan kesan sampingan kepada kesihatan. Buangkan jauh-jauh dari fikiran anda untuk mengutamakan rasa sedap yang cuma sekejap saja sampai ke tekak itu. Cuba bayangkan perjalanan sup lemak tepu itu yang akhirnya sarat mengumpul daging dan lemak-lemak itu di dalam perut. Proses penghadamannya sangat lambat. Fikirkan … betapa payahnya pinggan, mangkuk dan periuk yang berlemak hendak dicuci, perlu disiram dengan air panas dan disental dengan limau dan bahan pencuci supaya perkakas benar-benar bersih apatah lagi perut kita yang berlipat-lipat itu…


Khamis, 17 Januari 2013

Bercakap Dengan Jin

Dia melanjutkan pengajian agama di Universiti Al-Azhar, Mesir pada pertengahan tahun 60-an. Selepas  menamatkan pengajian di Kaherah, awal 70-an anak muda ini terus ditawarkan menjadi guru besar di sebuah sekolah menengah di Tampin, Negeri Sembilan.

Dialah satu-satunya guru besar yang paling muda ketika itu tambahan pula belum berumah tangga. Niatnya hanya ingin berbakti kepada anak bangsa dalam urusan agama.

Kehadirannya di daerah itu disambut baik oleh penduduk kampung serta pelajar-pelajar di sana. Gelaran ‘Tuan’ dianggap cukup istimewa bagi mereka yang bergelar guru ketika itu. Lebih-lebih lagi anak muda ini fasih berbahasa Arab dan Inggeris. Kaya ilmu agama dan sangat tegas orangnya.


Isnin, 14 Januari 2013

REZEKI NIKMAT BERI KEBAHAGIAAN ORANG LAIN

Anda membina keluarga, kami memeriahkannya

Pada hari raya korban ketiga saya mengunjungi rumah seorang kawan. Sampai di rumahnya dia terus bertanya kalau-kalau ada baki simpanan daging korban di rumah saya. Terkedu saya dibuatnya, dari gaya cakapnya memang dia terlalu mengharap. “Adalah sikit, nanti saya hantar esok.” Dia memeluk saya dan mengucap syukur. Hairan saya. “Kenapa ni?” tanya saya.

“Daging tu saya nak hantar ke kampung, nak bagi mak. Setiap kali raya saya memang bawa balik daging dari KL. Tapi kali ini saya balik sebelum hari raya korban jadi dia tak dapatlah daging korban. Mak sampai pesan pada saya jangan lupa simpankan daging korban kalau-kalau ada orang beri.” Terharu sungguh saya mendengarnya. Rupa-rupanya kampung kawan saya ini terlalu daif, sudah 10 tahun kampungnya tak buat korban.

Kata kawan saya tu kalau ada yang bagi daging korban, mereka sanggup masak kuah banyak-banyak untuk rasa seorang sikit berkat rezeki dari daging korban itu.

“Akak tahu, mereka kalau dapat daging tu macam nak dicium, sayang sungguh. Mereka anggap macam ‘ubat’, macam penawar penyakit. Sebab susah nak dapat,” jelas kawan saya. “Ah! Ada juga orang Malaysia yang susah dapat makan daging korban. Ingatkan di Kemboja sahaja.” Menitis air mata sebak saya.

Walaupun saya belum sempat masak daging yang diagihkan pada hari pertama raya korban baru ini tapi saya merelakanrezeki yang tersimpan di peti beku rumah saya itu berpindah tangan nun jauh kepada insan di kampung yang serba daif. Cukuplah saya sekeluarga sempat merasai gulai kawah dan sup tulang yang dimasak bersama ahli kariah masjid di kawasan perkampungan saya itu.

Patutlah hati rasa tertangguh-tangguh nak masak daging itu, rupa-rupanya saya direzekikan oleh Allah untuk menyambut amanah sumbangan dari masjid itu barang beberapa hari sahaja. Ia bukan milik saya sekeluarga. Allah telah catatkan rezeki itu akan sampai ke perut orang lain rupanya. Rezeki orang yang benar-benar memerlukannya.

Terima kasih ya Allah kerana Kau campakkan sedikit rasa kasih dan ihsan-Mu ke hati kami untuk sama-sama berkongsinikmat rezeki dengan orang lain. Ya Allah luas sungguh pengertian rezeki-Mu kepada kami. Tidak ada satu kejadiandan ketetapan-Mu ke atas kami yang sia-sia. Benarlah apa yang telah Allah firmankan di dalam al-Quran di dalam surahAli Imran ayat 191, antara maksudnya, “...Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, mahasuci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.”

Azam saya dan kawan-kawan dari Majalah Anis untuk sama-sama mencari dana membantu menunaikan hajat insaninsan yang benar-benar memerlukan itu apabila menjelang sambutan hari raya korban pada penghujung tahun ini.

Mudah-mudahan dengan cara rasa seronok dapat tunaikan hajat orang dan mempermudahkan keperluan hidup orang lain juga, Allah perluaskan lagi rezeki kita.

Bersama-sama kita menghayati topik fokus bulan ini yang mengupas keistimewaan Luasnya Rezeki Allah,memandang bala dan nikmat dari dua sudut tauhid yang tidak terpisah kerana di situ ada sifat jamal (kesempurnaan) dan sifat jalal (kehebatan dan kebesaran) Allah dalam kupasan interviu fokus bersama Dr. Jahid Hj. Sidek.

Rabu, 9 Januari 2013

Lemang Pos Laju

Seorang ustaz ke pasar tani membeli pelbagai barang dapur termasuklah sebatang lemang.Semasa membeli dia ditegur oleh seorang lelaki yang sedang duduk makan lemang dan rendang di gerai berkenaan. Lelaki itu mengenali ustaz tersebut kerana pernah menghadiri majlis pengajiannya. Sempat dia mengambil alamat ustaz tersebut atas tujuan untuk mudah bertanya hal-hal berkaitan agama.

Petang itu sedang ustaz menghadap hidangan berbuka puasa sunat Syawal, dia bertanya kepada isterinya, “mana lemang?”

 “Mana ada lemang,” jawab isteri kehairanan.

“Ada, pagi tadi saya ada beli sebatang.” “Tak ada…,” si isteri kebingungan. Maka berbukalah si suami dengan hidangan apa yang ada. Jauh di sudut hati tetap merasakan lemang itu tetap ada rezeki untuknya.

Dua hari berikutnya kelihatan posmen mundar-mandir di depan rumah. Lalu isteri ustaz itu keluar bertanya kalau-kalau ada yang boleh dibantu.

 “Kak, saya cari nama Ustaz Pauzi Awang?”

 “Rumah ni le…” “Anak akak ke?” tanya posmen. Isteri ustaz hanya mengangguk dengan tersenyum.

Tertera pada kotak selain alamat, sebuah nota: “Kepada Ustaz Pauzi, isteri, anak-anak dan keluarga, sila buka kotak ini hari ini juga.”

Ketika bungkusan itu sampai, Ustaz Pauzi tak ada di rumah. Bungkusan itu dirasakan berat. Masing-masing takut nak buka. Ada juga yang mengagak isi bungkusan itu lemang. Tapi ramai yang tak yakin.

Apabila ustaz pulang, mereka sekeluarga segera menyuruhnya membuka bungkusan itu. Alangkah terkejut semua yang ada, rupa-rupanya bungkusan yang berat itu memang berisi lemang. Dan ada nota di dalamnya, “Ustaz tertinggal barang ini, saya tolong simpankan.”

 Rupa-rupanya kenalan yang ditemui di gerai pasar tani Seksyen 17 itu yang mengirimkan bungkusan itu melalui pos laju. Bukan lemang saja malah disertakan juga dengan rendang. “Terima kasih, Shahnaz.”

Kata ustaz, sebaik mengetahui lemangnya tercicir, entah kenapa hatinya cukup yakin lemang itu pasti akan dapat jua. Berkat puasa di bulan Syawal, doa ketika berbuka itu Allah makbulkan. Antara waktu doa yang makbul ialah ketika berbuka iaitu antara azan dan iqamah. Sebab itu kita dituntut selepas berbuka dengan buah tamar, berdoalah yang baik-baik. Mudah-mudahan hidup kita diberkati.

 HANIM DAN FADZILAH 

 Pada hari terakhir majlis penutup Kem Hafazan Al-Quran anjuran majalah Asuh dan Aqrab, Ustaz Wan Bakar Wan Dagang, Pengarah Urusan Aqrab ketika makan tengah hari sempat bercerita pada kami, “Saya masih ingat lagi kenangan pada tahun 1987, ketika menganjurkan satu seminar di Genting Highlands, para peserta yang hadir suka sangat duduk di belakang-belakang. Lalu saya katakan kepada mereka, ‘Tuan-tuan dan puanpuan dijemput memenuhi kerusi yang kosong di depan ini sebab sebentar lagi penceramah bernama Hanim dan Fadzilah akan duduk di depan ini.’

” Semua peserta segera memenuhi bahagian depan. Acara hampir bermula, kelihatan para peserta seakan mencaricari sesuatu, meninjau-ninjau ke pintu utama.

“Ustaz, mana Hanim dan Fadzilah? Kenapa tak sampai-sampai lagi?”

“Yang di depan tuan-tuan dan puanpuan itulah Hanim dan Fadzilah.” Ustaz menunjukkan ke arah dua penceramah muda itu dengan senyum meleret. Terkejut semua yang hadir.Tidak disangka dua jejaka tampan yang masuk ke dewan baru sekejap tadi itu memiliki nama yang cukup unik, Mohd Hanim bin Mohd Tahir dan Mohd Fadzilah bin Kamsah.

 Dua puluh tahun sudah berlalu, kini Mohd. Hanim sudah bergelar Hj Mohd. Hanim dan Mohd. Fadzilah sudah bergelar Dato’ Dr. Hj Mohd. Fadzilah Kamsah. Kedua-dua rakan karib dan juga rakan kongsi perniagaan ini sudah terkenal. Mereka berjaya memotivasikan ribuan peserta pelbagai lapisan usia dan menubuhkan Excel Training & Consultancy berpusat di Bangi di bangunan setinggi tiga tingkat milik sendiri. Terkini sebuah pusat latihan bernama Excel Training Resort berkeluasan 16 ekar di Kampung Kapal, Broga, Ulu Beranang, Negeri Sembilan berjaya dibangunkan dengan duit titik peluh hasil ceramah yang disimpan berdikit-dikit tanpa membuat pinjaman dari bank.