Cuti sekolah penghujung Mei lalu,
riuh-rendah rumah saya apabila didatangi keluarga-keluarga suami dari kampung yang
sudah lama tidak menjejakkan kaki ke ibu kota.
Seronok berbual dari satu topik
ke satu topik. Kalau sudah namanya ibu, topik masak memang tak pernah lekang
dari perbualan kami. Sambil mengemas pinggan mangkuk di dapur mereka melihat microwave
oven comel saya di dapur, “Alah sekadar untuk mudahkan anak-anak memanaskan
lauk-pauk kalau saya lambat balik kerja,” saya menjawab polos ketika ditanyakan
soalan berkaitan.
Mak Usu saya itu rupanya ada microwave
oven di kampung, begitu juga kakak ipar saya yang sekampung dengannya.
Rumah masing-masing dibatasi oleh sawah yang luas. Dari perbualan, saya tahu microwave
oven mereka bernilai ribuan ringgit. Besar dan boleh masak pelbagai jenis
masakan dari menanak nasi, masak kek, ikan bakar, ikan goreng, ayam golek saiz
besar, saiz kecil, masak pau, gulai kari, semua mereka pandai masak. Saya yang mendengar
perbualan mereka terlopong juga. Dalam usia masing-masing mencecah 60-an sudah
mampu menerima kemajuan teknologi dan mengaplikasikannya di rumah.
“Pagi-pagi kami ke sawah, balik
tengah hari terus masak. Cepat masak. Kalau tak tahu kami telefon anak-anak di
KL. Macam dalam tv tu, kami suruh depa ajar. Kami tekan le punat MENU dan ikut
arahan seterusnya,” cerita Mak Usu saya yang cukup advance. “Kenapa saya
masak nasi, asyik tak masak-masak, mentah semacam?” tanya Kak Lang pula.
“La… hang kena tengok arahan pada
microwave tu, bunyi loceng yang pertama tu ‘dia’ suruh hang keluarkan
nasi tu dan ‘karih’ (kacau). Lepas tu masukkan balik, nanti ‘dia’ akan pusing
sendiri sampai nasi tu masak.”
“Oh… lagu tu ka…” Kak Lang
tergelak besar. Saya tersenyum panjang mendengar perbualan mereka, sebenarnya
saya pun tak pernah masak nasi dengan microwave oven, hanya masak dengan
periuk nasi elektrik sahaja.
Saya bangga dengan mereka walau
tak sekolah tinggi sekadar bertani di kampung, tetapi dari segi pemikiran terhadap
kemajuan teknologi tak tinggal ke belakang. “Kalau Mak Usu dan Kak Lang ada handphone
kamera 3G nanti boleh sembang dan ajar masak terus dari dapur ke dapur aje.
Tak payah nak rakam-rakam.” Kedua-duanya tersenyum. Saya tahu mereka mampu
memiliki handphone seumpama itu kerana punya sawah ladang yang luas di
mana kedua duanya sama membantu suami mengusahakan bersama pekerja dan semua anak-anak
mereka juga telah berjaya dalam kehidupan.
Doa Daripada
Anak
Penghujung bulan Mei lalu saya menziarahi dua majlis kematian orang yang terdekat dengan kami di syarikat. Pertama, Allahyarham Ustaz Mohamad, Imam 1 Masjid Jamek Tengku Abd. Aziz Shah, Sungai Pencala, yang meninggal dunia pada 24 Mei, 2007 kerana kesan kuman nanah pada kudis di kaki kanannya menular ke jantung.
Penghujung bulan Mei lalu saya menziarahi dua majlis kematian orang yang terdekat dengan kami di syarikat. Pertama, Allahyarham Ustaz Mohamad, Imam 1 Masjid Jamek Tengku Abd. Aziz Shah, Sungai Pencala, yang meninggal dunia pada 24 Mei, 2007 kerana kesan kuman nanah pada kudis di kaki kanannya menular ke jantung.
Dia tidak menghidap
sebarang penyakit kronik. Pergi dalam usia 49 tahun. Sebelum jenazah
disembahyang, ahli jemaah masjid membaca tahlil yang dipimpin Imam 2 di situ
iaitu Ustaz Dr. Nik Yusri Musa, Imam (kolumnis Celik Fikah ANIS). Namun pada
saat membacakan doa, mikrofon diberi kepada Yusof, anak sulung imam yang duduk
di sisinya. Yusof mengangkat tangan membacakan doa untuk ibu bapa yang biasa
kita bacakan, “Allahummaghfirlanaa…” Sepuluh kali diulang-ulang doa itu sebelum
menyambung doa lain. Saya lihat para hadirin sebak. Ada yang bercucuran air mata.
Ustaz Nik sudah menekupkan tangan ke muka. Terharu. Di hati sekalian hadir
pasti akan berkata, “Ya, Allah mudah-mudahan anak kami juga dapat membacakan
doa untuk kami saat kami masih hidup dan saat kami sudah dikapankan.”
Yusof, 19, baru
seminggu diterima ke pengajian tahfiz Quran di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu.
Anak sulung ini berkat didikan ayah walau masih muda, sudah matang memimpin
majlis. Pada 28 Mei, 2007 pula saya dan Puan Aliyah seawal jam 7 pagi sudah
bergerak ke Kg. Bukit Lanchong, Shah Alam. Ayah Mohd Asri (Ketua kumpulan
nasyid Rabbani), Hj Ibrahim Busro telah kembali ke rahmatullah pada tengah
malam Isnin dalam usia 80-an.
Warga Emas ini
juga bekas imam di situ. Cerita keluarga ini juga tersiar dalam ANIS bulan Mei
sempena Hari Ibu. Sepanjang mengalami keuzuran selepas jatuh dari bilik air
awal Mei lalu, dia selalu keluar masuk Hospital Putrajaya. Anak-anak bersilih
ganti menjaganya.
Sepanjang jenazah ada di rumah, 13 anak bersilih ganti juga membaca tahlil dan
berdoa. Begitu juga isterinya, Hjh Rubiah Hj Ehsan, 70.
Tiga daripada
anak adalah hafiz dan hafizah dan yang lainnya pencinta agama walau berbeza
kerjaya. Tidak ada yang dapat kami ungkapkan melainkan, roh arwah Hj Ibrahim
Busro pastinya berada di sisi orang-orang soleh kerana kejayaannya mendidik semua anak dan
50 cucu pencinta agama. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kedua-duanya.
Al-Fatihah…