Suatu pagi sampai sahaja
ke pejabat saya menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengenalkan
dirinya sebagai Taj Hanifah.
Ibu beranak empat berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini
membantu suaminya menguruskan perniagaan menjual buku-buku. Ketika melahirkan
anak keempatnya awal tahun lepas, dia diserang penyakit murung. Diri rasa
betul-betul tertekan sehingga tidak dapat mengikut pantang dengan betul.
Sekejap rasa marah, sekejap rasa benci pada anak yang dilahirkan. Ditambah pula
selepas tamat pantang 40 hari dia terus membantu suami di kedai. Taj rasa masa rehatnya
sangat terhad dengan segala urusan rumah tangga perlu diurus sendiri.
Lama juga dia mendapat tekanan, , pendek kata hidupnya bagaikan
tak terurus. Dia menjual banyak majalah termasuk ANIS, sehinggalah dia terbaca artikel
corat-coret saya yang bertajuk, ‘Dato’ Sarimah Yang Ku Kenal’, terbitan bulan
Oktober, 2005. Cerita mengenai konsisten Dato’ Sarimah membaca al-Quran dan
beribadah.
“Selepas menatap artikel itu berharihari saya termenung dan
berfikir panjang mahu melawan trauma yang dialami dengan mencontohi amalan Dato’
Sarimah.
Sejak membaca kisahnya, saya cuba mendekatkan diri dengan Quran secara
bersungguh-sungguh. Setiap
hari saya mesti baca Quran. Ada saja masa yang terluang, saya baca
Quran dan fahami maknanya. Selama sebulan mengamalkannya saya rasa betul-betul
tenang. Penyakit murung dan ketegangan saya hilang. Saya rasa makin dekat
dengan anak-anak.
Seronoknya tak tahu nak kata,” ujar Taj dengan nada penuh
keharuan. Sejak itu dia mula serius dengan
pengajian al-Quran dengan mencari guru untuk lebih memperkemaskan bacaan
bertajwid di samping mendalami tuntutan al-Quran.
Dalam Deritanya Tersimpul Senyuman!
Awal Jun lalu, saya, Kak Aliyah dan rakan-rakan sepejabat menziarahi
Huraizah Zakaria, isteri arwah Salleh Ramli, penasyid kumpulan hijjaz yang juga
merupakan artis grafik kami sejak ANIS mula diterbitkan. Arwah Salleh meninggal
dunia hampir tujuh tahun lalu.
Lebih setahun saya tidak bertemu muka dengan Huraizah. Sejak kebelakangan
ini dia begitu kurang sihat . Pertemuan yang telah lama kami rancang, akhirnya
diizinkan Allah. Kami ke rumah ibu bapa Huraizah, di Alai, Melaka. Tak sangka
badannya yang berisi suatu ketika dulu kini tinggal seberat 30kg. Terasa tulang
badannya berketul-ketul ketika memeluknya.
Dia baring mengiring dengan mengerekotkan kedua-dua belah
kakinya sehingga rapat ke dada. “Sejuk ke?” tanya kami.
“Tak, Zah memang selesa baring macam ni. Kalau baring terlentang
sakit badan,” jawabnya penuh ceria menyambut kedatangan kami yang mengelilinginya
di katil.
Doktor mengesahkan dia mengalami radang paru-paru dan kerap
berulangalik ke hospital menerima rawatan.
Badannya menyusut begitu ketara sekali. Masanya banyak
dihabiskan di dalam bilik dengan membaca dan
mengaji Quran. Dirinya tak berupaya duduk lama kerana terasa
cukup sakit apabila tulang pinggul berlaga dengan benda keras.
Untuk berjalan perlu dipapah, mandi pun terpaksa duduk di atas
kerusi. Solat selesa dalam keadaan duduk.
Syukurlah dia punya ibu dan ayah yang masih sihat dan ada
pekerjaan tetap. Kasih- sayang yang tidak berbelah bagi dicurahkan oleh Puan
Zainab dan En. Zakaria kepada anak sulungnya ini. Makan Huraizah disuapkan,
mandi dijiruskan, pelajaran dan kebajikan dua cucunya yang bergelar anak yatim tidak
pernah diabaikan. Bagi mereka memuliakan anak yatim sama seperti memuliakan
Nabi SAW kerana Nabi juga anak yatim piatu sejak kecil lagi.
Tatkala salam berjabat untuk berpisah sekali lagi air mata kami
tumpah apabila melihatkan Kak Aliyah begitu mudah mendukung Huraizah yang
beratnya sama dengan anak sulungnya, Nur Hani Syafiqah binti Salleh yang sudah
berusia 10 tahun. Semoga Allah kurniakan kesabaran yang tinggi buat keluarga
ini.