Kami mengalu-alukan anda memberi pendapat tentang majalah Anis dan menghantar karya berkualiti anda bersama-sama kami.E-melkan cadangan atau karya anda ke majalahanis@yahoo.com atau layari www.facebook.com/majalahanis
Memaparkan catatan dengan label Corat-Coret. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Corat-Coret. Papar semua catatan

Selasa, 12 Mac 2013

Iktibar Peribadi Dato' Sarimah


Suatu pagi sampai sahaja ke pejabat saya menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengenalkan dirinya sebagai Taj Hanifah.

Ibu beranak empat berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini membantu suaminya menguruskan perniagaan menjual buku-buku. Ketika melahirkan anak keempatnya awal tahun lepas, dia diserang penyakit murung. Diri rasa betul-betul tertekan sehingga tidak dapat mengikut pantang dengan betul. Sekejap rasa marah, sekejap rasa benci pada anak yang dilahirkan. Ditambah pula selepas tamat pantang 40 hari dia terus membantu suami di kedai. Taj rasa masa rehatnya sangat terhad dengan segala urusan rumah tangga perlu diurus sendiri.

Lama juga dia mendapat tekanan, , pendek kata hidupnya bagaikan tak terurus. Dia menjual banyak majalah termasuk ANIS, sehinggalah dia terbaca artikel corat-coret saya yang bertajuk, ‘Dato’ Sarimah Yang Ku Kenal’, terbitan bulan Oktober, 2005. Cerita mengenai konsisten Dato’ Sarimah membaca al-Quran dan beribadah.

“Selepas menatap artikel itu berharihari saya termenung dan berfikir panjang mahu melawan trauma yang dialami dengan mencontohi amalan Dato’ Sarimah.

Sejak membaca kisahnya, saya cuba mendekatkan diri dengan Quran secara bersungguh-sungguh. Setiap
hari saya mesti baca Quran. Ada saja masa yang terluang, saya baca Quran dan fahami maknanya. Selama sebulan mengamalkannya saya rasa betul-betul tenang. Penyakit murung dan ketegangan saya hilang. Saya rasa makin dekat dengan anak-anak.

Seronoknya tak tahu nak kata,” ujar Taj dengan nada penuh keharuan. Sejak itu dia mula serius dengan
pengajian al-Quran dengan mencari guru untuk lebih memperkemaskan bacaan bertajwid di samping mendalami tuntutan al-Quran.

 Dalam Deritanya Tersimpul Senyuman!

Awal Jun lalu, saya, Kak Aliyah dan rakan-rakan sepejabat menziarahi Huraizah Zakaria, isteri arwah Salleh Ramli, penasyid kumpulan hijjaz yang juga merupakan artis grafik kami sejak ANIS mula diterbitkan. Arwah Salleh meninggal dunia hampir tujuh tahun lalu.

Lebih setahun saya tidak bertemu muka dengan Huraizah. Sejak kebelakangan ini dia begitu kurang sihat . Pertemuan yang telah lama kami rancang, akhirnya diizinkan Allah. Kami ke rumah ibu bapa Huraizah, di Alai, Melaka. Tak sangka badannya yang berisi suatu ketika dulu kini tinggal seberat 30kg. Terasa tulang badannya berketul-ketul ketika memeluknya.

Dia baring mengiring dengan mengerekotkan kedua-dua belah kakinya sehingga rapat ke dada. “Sejuk ke?” tanya kami.

“Tak, Zah memang selesa baring macam ni. Kalau baring terlentang sakit badan,” jawabnya penuh ceria menyambut kedatangan kami yang mengelilinginya di katil.

Doktor mengesahkan dia mengalami radang paru-paru dan kerap berulangalik ke hospital menerima rawatan.
Badannya menyusut begitu ketara sekali. Masanya banyak dihabiskan di dalam bilik dengan membaca dan
mengaji Quran. Dirinya tak berupaya duduk lama kerana terasa cukup sakit apabila tulang pinggul berlaga dengan benda keras.

Untuk berjalan perlu dipapah, mandi pun terpaksa duduk di atas kerusi. Solat selesa dalam keadaan duduk.
Syukurlah dia punya ibu dan ayah yang masih sihat dan ada pekerjaan tetap. Kasih- sayang yang tidak berbelah bagi dicurahkan oleh Puan Zainab dan En. Zakaria kepada anak sulungnya ini. Makan Huraizah disuapkan, mandi dijiruskan, pelajaran dan kebajikan dua cucunya yang bergelar anak yatim tidak pernah diabaikan. Bagi mereka memuliakan anak yatim sama seperti memuliakan Nabi SAW kerana Nabi juga anak yatim piatu sejak kecil lagi.

Tatkala salam berjabat untuk berpisah sekali lagi air mata kami tumpah apabila melihatkan Kak Aliyah begitu mudah mendukung Huraizah yang beratnya sama dengan anak sulungnya, Nur Hani Syafiqah binti Salleh yang sudah berusia 10 tahun. Semoga Allah kurniakan kesabaran yang tinggi buat keluarga ini.

Khamis, 21 Februari 2013

Dari Sawah Ke Mikrowave Oven


Cuti sekolah penghujung Mei lalu, riuh-rendah rumah saya apabila didatangi keluarga-keluarga suami dari kampung yang sudah lama tidak menjejakkan kaki ke ibu kota.

Seronok berbual dari satu topik ke satu topik. Kalau sudah namanya ibu, topik masak memang tak pernah lekang dari perbualan kami. Sambil mengemas pinggan mangkuk di dapur mereka melihat microwave oven comel saya di dapur, “Alah sekadar untuk mudahkan anak-anak memanaskan lauk-pauk kalau saya lambat balik kerja,” saya menjawab polos ketika ditanyakan soalan berkaitan.

Mak Usu saya itu rupanya ada microwave oven di kampung, begitu juga kakak ipar saya yang sekampung dengannya. Rumah masing-masing dibatasi oleh sawah yang luas. Dari perbualan, saya tahu microwave oven mereka bernilai ribuan ringgit. Besar dan boleh masak pelbagai jenis masakan dari menanak nasi, masak kek, ikan bakar, ikan goreng, ayam golek saiz besar, saiz kecil, masak pau, gulai kari, semua mereka pandai masak. Saya yang mendengar perbualan mereka terlopong juga. Dalam usia masing-masing mencecah 60-an sudah mampu menerima kemajuan teknologi dan mengaplikasikannya di rumah.

“Pagi-pagi kami ke sawah, balik tengah hari terus masak. Cepat masak. Kalau tak tahu kami telefon anak-anak di KL. Macam dalam tv tu, kami suruh depa ajar. Kami tekan le punat MENU dan ikut arahan seterusnya,” cerita Mak Usu saya yang cukup advance. “Kenapa saya masak nasi, asyik tak masak-masak, mentah semacam?” tanya Kak Lang pula.

“La… hang kena tengok arahan pada microwave tu, bunyi loceng yang pertama tu ‘dia’ suruh hang keluarkan nasi tu dan ‘karih’ (kacau). Lepas tu masukkan balik, nanti ‘dia’ akan pusing sendiri sampai nasi tu masak.”

“Oh… lagu tu ka…” Kak Lang tergelak besar. Saya tersenyum panjang mendengar perbualan mereka, sebenarnya saya pun tak pernah masak nasi dengan microwave oven, hanya masak dengan periuk nasi elektrik sahaja.

Saya bangga dengan mereka walau tak sekolah tinggi sekadar bertani di kampung, tetapi dari segi pemikiran terhadap kemajuan teknologi tak tinggal ke belakang. “Kalau Mak Usu dan Kak Lang ada handphone kamera 3G nanti boleh sembang dan ajar masak terus dari dapur ke dapur aje. Tak payah nak rakam-rakam.” Kedua-duanya tersenyum. Saya tahu mereka mampu memiliki handphone seumpama itu kerana punya sawah ladang yang luas di mana kedua duanya sama membantu suami mengusahakan bersama pekerja dan semua anak-anak mereka juga telah berjaya dalam kehidupan.

Doa Daripada Anak 

Penghujung bulan Mei lalu saya menziarahi dua majlis kematian orang yang terdekat dengan kami di syarikat. Pertama, Allahyarham Ustaz Mohamad, Imam 1 Masjid Jamek Tengku Abd. Aziz Shah, Sungai Pencala, yang meninggal dunia pada 24 Mei, 2007 kerana kesan kuman nanah pada kudis di kaki kanannya menular ke jantung.

Dia tidak menghidap sebarang penyakit kronik. Pergi dalam usia 49 tahun. Sebelum jenazah disembahyang, ahli jemaah masjid membaca tahlil yang dipimpin Imam 2 di situ iaitu Ustaz Dr. Nik Yusri Musa, Imam (kolumnis Celik Fikah ANIS). Namun pada saat membacakan doa, mikrofon diberi kepada Yusof, anak sulung imam yang duduk di sisinya. Yusof mengangkat tangan membacakan doa untuk ibu bapa yang biasa kita bacakan, “Allahummaghfirlanaa…” Sepuluh kali diulang-ulang doa itu sebelum menyambung doa lain. Saya lihat para hadirin sebak. Ada yang bercucuran air mata. Ustaz Nik sudah menekupkan tangan ke muka. Terharu. Di hati sekalian hadir pasti akan berkata, “Ya, Allah mudah-mudahan anak kami juga dapat membacakan doa untuk kami saat kami masih hidup dan saat kami sudah dikapankan.”

Yusof, 19, baru seminggu diterima ke pengajian tahfiz Quran di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu. Anak sulung ini berkat didikan ayah walau masih muda, sudah matang memimpin majlis. Pada 28 Mei, 2007 pula saya dan Puan Aliyah seawal jam 7 pagi sudah bergerak ke Kg. Bukit Lanchong, Shah Alam. Ayah Mohd Asri (Ketua kumpulan nasyid Rabbani), Hj Ibrahim Busro telah kembali ke rahmatullah pada tengah malam Isnin dalam usia 80-an.

Warga Emas ini juga bekas imam di situ. Cerita keluarga ini juga tersiar dalam ANIS bulan Mei sempena Hari Ibu. Sepanjang mengalami keuzuran selepas jatuh dari bilik air awal Mei lalu, dia selalu keluar masuk Hospital Putrajaya. Anak-anak bersilih ganti menjaganya. Sepanjang jenazah ada di rumah, 13 anak bersilih ganti juga membaca tahlil dan berdoa. Begitu juga isterinya, Hjh Rubiah Hj Ehsan, 70.

Tiga daripada anak adalah hafiz dan hafizah dan yang lainnya pencinta agama walau berbeza kerjaya. Tidak ada yang dapat kami ungkapkan melainkan, roh arwah Hj Ibrahim Busro pastinya berada di sisi orang-orang soleh kerana kejayaannya mendidik semua anak dan 50 cucu pencinta agama. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kedua-duanya. Al-Fatihah…

Selasa, 5 Februari 2013

Hilang Beg


Pagi suatu hari Ahad, hujung bulan April lalu rumah Puan Aliyah Sijari didatangi tetamu yang tidak dikenali. Seorang pemandu teksi tiba-tiba mencari Abu Hassan Morad (Pengarah Urusan, Galeri Ilmu Sdn. Bhd.). “Abu Hassan Morad?” tanya Aliyah Sijari yang baru-baru ini memenangi anugerah Penulis Rencana Terbaik (Majalah ANIS) AMIN.

Penumpang teksi bersama merupakan sepasang suami isteri itu memberitahu mereka terjumpa kad jemputan kahwin di dalam beg pakaian. Rupa-rupanya pasangan ini telah tertukar beg di Hentian Bas, Jalan Duta subuhnya. Kad tersebut daripada Pn. Aliyah yang menjemput Tn. Hj. Abu Hassan ke majlis perkahwinan anaknya tidak lama dulu. Berpandukan alamat kediaman Pn. Aliyah yang tertera pada kad itulah mereka berusaha mencari Hj. Abu Hassan.

Bergegas Pn. Aliyah menghubungi Hj. Abu Hassan Morad. Dalam masa yang sama Pengarah Urusan kami itu turut mencari beg itu. Ketika dihubungi, dia berada di Hentian Bas, Jalan Duta. Beg itu sebenarnya milik ayah mentuanya, H.j Tahir bin Osman yang baru sampai dari Kedah. Entah macam mana boleh tertukar beg dengan pasangan tersebut mereka pun tak pasti.

Sepuluh minit kemudiannya Hj. Abu Hassan sampai ke rumah Pn. Aliyah. Wajah cemas masingmasing bertukar ceria. Pasangan itu rupanya akan menghadiri satu kursus bermula petang itu. Mereka dari Badan Pencegah Rasuah, Alor Star. Tutur bahasa dua pegawai muda ini cukup sopan dan sangat menyenangkan. Pertemuan bersejarah pagi itu tidak terhenti di situ sahaja kerana pada pagi itu pasangan tersebut tidak tahu hendak berehat di mana sementara menunggu petang. Hj. Abu Hassan membawa mereka ke pejabat kami, di Taman Tun Dr. Ismail untuk mandi-manda, bersarapan dan beristirahat.

Sebenarnya Hj. Abu Hassan cukup sibuk menyudahkan kerjakerja penyuntingan rancangan tv, tetapi kehadiran tetamu yang diyakini membawa berkat tetap dirai sebaiknya. Ayah mentuanya juga dititipkan seketika di pejabat sebelum dibawa ke rumahnya. Sepanjang proses menantu mencari beg itu di Hentian Bas, Jalan Duta, rupa-rupanya Hj. Tahir Osman tak putus-putus melakukan solat hajat minta beg yang hilang dapat dipulangkan kepada yang hak dan beg pakaiannya yang serupa itu kembali kepadanya.

Usaha ikhtiar yang bersulam akhlak dan doa yang tidak putusputus daripada semua pihak telah menawan hati pasangan Azwan dan Lina yang berasal dari Negeri Johor dan Pahang untuk menjadikan keluarga Hj. Abu Hassan Morad sebagai keluarga angkat mereka.

Biji Kacang Hijau

Kisah ini berlaku di utara tanah air, seorang guru kenalan saya menceritakan pengalamannya baru-baru ini. Suatu hari berlaku hujan lebat sebuah tanah perkuburan di panah petir. Habis semua kawasan perkuburan itu
terbakar kecuali satu kubur sahaja yang tidak terjejas.


Guru itu bertanya kepada ahli keluarga berkenaan, menurut cerita anak perempuannya arwah ibunya setiap hari mengamalkan surah al-Ikhlas (Qulhuwallah) pada masa yang terluang. Ayat itulah yang menjadi basahan lidahnya supaya diri rasa selalu kenyang dan kurang makan. Ibunya tidak menggunakan tasbih untuk berzikir sebaliknya butir-butir halus kacang hijau dijadikan alat teman untuk berzikrullah. 



Si anak menunjukkan sebiji guni yang sarat biji-biji kacang hijau milik ibunya yang baru meninggal dunia. Ibunya akan mengisi biji-biji kacang yang sudah dizikirkan ke dalam guni itu.



Terpana seketika cikgu itu melihat sebiji guni tepung sarat isian kacang hijau. Subhanallah, walau wanita itu cuma seorang ibu tua yang tinggal di kampung, ketelitiannya dalam menjaga amalan istiqamah merupakan satu tamparan hebat buat kami yang mendengarnya.



Jadikan kisah benar ini sebagai iktibar. Tunaikanlah amal ibadah walau sekecil biji kacang hijau. Meskipun nampak kecil, jika dilakukan secara istiqamah, ganjaran yang dituai kelak pasti besar!

Khamis, 31 Januari 2013

Cincin Emas Si Mati


Tak Boleh Tidur Memikirkan…

Apabila tersiarnya cerita tentang sebuah kampung yang penduduknya sudah lama tidak dapat makan daging korban, saya mendapat beberapa respons dari pembaca yang bersedia untuk sama-sama menyumbang termasuklah Kak Anis (Dr. Amida@ Hamidah Abdulhamid – kolumnis Semaian Kasih). Saya turut menerima panggilan dari seorang pembaca, Pn. Siti Aishah Ahmad, “Kak Aishah rasa tak boleh tidur memikirkan macam mana ada kampung di Malaysia yang masih tak dapat daging korban macam di Kemboja. Sebab itulah akak telefon Pn. Jalilah. Kak Aishah pernah susah…” Ibu tunggal berusia 54 tahun ini mengajar mata pelajaran sains dan kemahiran hidup di Sek. Keb. Dato’ Wan Mohd Saman, Alor Setar.

Saya menjangkakan persahabatan kami sekadar perbualan di corong telefon sahaja. Dua minggu kemudiannya dia hubungi saya, katanya mahu datang ke Kuala Lumpur untuk bertemu wakil pihak kampung berkenaan yang menetap di sini.

Pagi Jumaat, 1 Mac lalu saya diberitahu dia telah sampai ke rumah keluarga berkenaan. Mereka mengambilnya di Hentian Bas, Jalan Duta.

Sebelum ke tempat kerja saya singgah di rumah berkenaan. Walau tak pernah bersua muka tapi silaturrahim yang diikat di atas nama agama nyata membuatkan hati kami begitu dekat. Kemesraan yang terjalin bagaikan sudah bertahun kenal. Saya turut menjemputnya melawat pejabat Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan bertukar-tukar pandangan. 

Wanita yang telah berpengalaman luas dalam dunia perguruan ini sanggup datang ke Kuala Lumpur subuh-subuh semata-mata mahu berkenalan lebih dekat dengan kami sebelum menyerahkan dana korban. Dia sanggup korbankan masa satu hari cuti pada hari Jumaat semata-mata atas rasa tanggungjawab ingin menunaikan haknya. Hak sebagai hamba Allah. Selesai urusan dan sempurna segala hajat, jam 5.30 petang dia memasuki perut bas ekspres Transnasional dengan lambaian penuh keharuan. Terima kasih ya Allah, Engkau kurniakan kami sahabatsahabat berhati mulia seperti ini yang tak pernah lupa diri walau kemewahan sudah menyaluti diri.

Semasa mengendalikan Bengkel Pusaka ANIS baru-baru ini, Ustaz Ghazali Ibrahim ada menceritakan pengalaman beliau bertemu dengan seorang wanita yang menguruskan mandi jenazah wanita.

Menurut cerita ustaz, selesai memandikan jenazah, wanita ini biasa dihadiahkan sebentuk cincin emas milik si mati. Cuba bayangkan jika sepanjang hidup wanita itu sudah menguruskan berpuluh-puluh jenazah, pastinya banyak sungguh cincin emas yang dimiliki sehingga tak muat disarungkan ke jari.

Memang benar, cincinnya sudah terlalu banyak sehinggakan ada yang telah diberi kepada anak cucu dan ada juga yang dijual. Ditakdirkan Allah, wanita ini mengikuti kursus pengurusan pusaka di sebuah tempat di Selangor yang dikendalikan oleh Ustaz Ghazali.

Wanita itu ajukan persoalan cincin emas tadi. Lalu ustaz menjawab, “Kita tidak boleh
ambil sebarang harta pusaka milik si mati sebelum semua urusan wasiatnya diselesaikan, walaupun sehelai kain batik milik arwah. Kecuali kalau kain batik baru yang dibeli dengan duit peribadi saudara-mara si mati atas niat untuk beri hadiah dan bukan dari duit si mati.”

Termenung wanita itu memikirkan selama ini dia banyak buat salah, mengambil harta yang bukan haknya. Kepada ustaz ditanyakan jalan penyelesaiannya. Kata ustaz, wanita itu perlu memulangkan semua cincin itu kepada waris-waris. Jika ada yang dijual hendaklah membuat anggaran harga dan serahkan wang itu kepada keluarga berkenaan.

“Selepas pemulangan itu, seandainya semua ahli keluarga si mati redha dan sepakat menghadiahkan kembali
kepada kakak, maka barulah cincin emas itu jadi milik kakak.” 

Kepada kami yang hadir, dipesan sungguh-sungguh supaya berhati-hati menghadiri jamuan di rumah keluarga si mati, takut-takut kita termakan duit pusaka milik arwah yang belum selesai diagihkan kepada waris-waris. Sebaiknya jiran tetangga, saudara-mara sepakat menyempurnakan majlis itu dengan dana lain seperti mana yang disarankan dalam Islam.


Isnin, 28 Januari 2013

Mana Rumah Ustazah?


Jam 10.00 pagi tepat seperti mana yang dijanjikan, saya sampai di halaman rumah Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail Al-Kudsi. Loceng pagar ditekan. Tidak lama kemudian muncul seorang pembantu rumah.

“Assalamualaikum, saya ada temujanji dengan tuan rumah.” Pembantu itu segera masuk ke rumah. Pintu pagar elektronik dibuka. Saya dijemput masuk dan duduk di ruang tamu. Hiasan rumah sederhana tapi cantik. Penghuninya meminati warna perang.

Sambil menunggu kemunculan Ustazah, saya nampak sebuah gambar keluarga di satu sudut. Cantik. Anak-anak bergaun kembang.

“Ah, pasti gambar Ustazah masa kecil-kecil,” fikir saya. Hampir 15 minit saya menunggu, tuan rumah tetap tak muncul. Rumah sepi. Sementara mengisi masa terluang, saya menghubungi jurufoto saya untuk memaklumkan lokasi.

Saya pun mengulangi menyebut alamat rumah Ustazah, takut-takut dia tidak membawa alamat dari pejabat.
Oleh kerana saya mengambil cuti panjang hujung tahun, hari itu saya terus dari rumah, tidak beriringan dengan jurufoto dari pejabat.

Alangkah terkejutnya saya, rupanya rumah yang saya masuki itu bukan rumah Ustazah. Saya termasuk ke
rumah pertama di Jalan Pekaka 8/15, Kota Damansara, bukannya Jalan Pekaka 8/15G.

Bingkas saya bangun menuju ke dapur. “Bibik, siapa nama tuan rumah ini?”

Bibik itu menjawab, nyata bukan nama Ustzah Sharifah Hayaati dan dia pun tidak tahu di mana rumah Ustazah.

Segera saya memohon maaf dan minta dia sampaikan salam kemaafan kepada tuan rumah. Bibik menghantar saya ke pintu pagar.

Di lorong yang sama, saya terus mencari; rupanya tanda jalan ke rumah Ustazah terlindung oleh juntaian ranting selang tiga buah rumah dari rumah pertama tadi. Saya membelok ke kanan. Pemanduan saya perlahan sambil mengamati alamat yang tertera pada banglo berkembar dua tingkat itu.

“Sah, ini rumahnya.” Pagar rumah Ustazah terbuka sendiri. Ustazah yang berbaju kurung hijau lumut sedondon warna tudung menyambut saya dengan senyuman ramahnya.

“Maaflah Ustazah, terlewat. Termasuk rumah orang lain kat depan sana tu.” Kami sama-sama tergelak.
Ustaz Syed Zakaria Syed Hassan Al-Yahya keluar, “Ini mesti termasuk rumah depan tu, kan? Dulu pun krew RTM macam tu, salah masuk. Depa dah siap shoot, lepas tu baru sedar tersalah rumah. Tuan rumah tu dah faham sangat. Dia pun tak kisah…” Pengalaman ini cukup membuatkan saya lebih berhati-hati. ✻

Maknya Ke Tu?

Anugerah yang tidak ternilai
  

Ini cerita dari kawan-kawan saya yang makan tengah hari di sebuah gerai. Perut memang cukup lapar ditambah pula dengan lauk yang sedap benar-benar membuka selera. Tatkala hendak menyuap nasi ke mulut terpandang bayi kecil berbedung terletak di atas meja makan. Di hadapan bayi itu seorang remaja sedang melanguk menengok tv. “Kesiannya baby tu, merah padam panas terdongak. Macam baru lahir saja,” kata kawan saya.

Kawan-kawan yang lain pun terbantut menyuap nasi. Maklumlah masing-masing ada anak. Tersentuh
sungguh perasaan keibuan mereka. “Anak sapa tu?” ringan aje mulut kawan saya ini bertanya kepada pemilik kedai yang memang dikenali.

“Tu mak dia dok tengok tv tu. Dalam pantang tu. Baru 30 hari.” Nak tercekik kawan-kawan saya mendengarnya. Si ibu muda rupanya. “Astaghfirullah… belum habis pantang. Dah pakai seluar jeans dan
kemeja-T tanpa lengan.” Mengurut dada kawan saya mengawal lelahnya, takut-takut datang tak semena-mena. Ibu muda itu duduk depan tv membiarkan anaknya menggeliat kepanasan.

“Bawa balik le anak tu, panas tu…,” tegur kawan saya. Ibu itu diam. Beberapa hari kemudiannya kawan
saya ni dan gengnya makan di situ lagi. “Dukung cucu nampak?” usik kawan saya kepada nenek muda ini. “Apa nak buat, maknya entah bangun entah tidak lagi…” Dicium cucunya penuh kasih.

“Saya kahwinkan anak bujang saya dengan budak perempuan ni sebab tak mahu jadi perkara yang tak baik.
Dah diusung sana-sini, takut saya. Jadi kami uruskan kahwin. Ini anak keduanya. Anak pertamanya dah dua tahun.”

Sekali lagi kawan saya ni rasa naik pitam. Dicongak-congak umur ibu muda itu; rasa-rasanya masa mula kahwin dulu umurnya lima belas tahun.

Kawan saya bangga dengan sikap prihatin nenek muda ini mengambil langkah bijak untuk menyelamatkan anaknya dari berbuat maksiat. Katanya, walaupun anak dan menantunya masih tak matang, tak tahu cara nak urus baby kalau merengek, sakit dan demam, tidur pun dengan nenek, segala-galanya diurus oleh nenek,
apa yang penting biarlah pasangan itu menjalani kehidupan rumah tangga di depan matanya. Kedua-duanya pun bekerja dengannya di gerai makan.

Kami pun ada anak…. doa kami, dengan keprihatinan nenek muda dan atuk muda, Allah beri kekuatan dalam mendidik generasinya menjadi insan soleh. ✻

Khamis, 17 Januari 2013

Bercakap Dengan Jin

Dia melanjutkan pengajian agama di Universiti Al-Azhar, Mesir pada pertengahan tahun 60-an. Selepas  menamatkan pengajian di Kaherah, awal 70-an anak muda ini terus ditawarkan menjadi guru besar di sebuah sekolah menengah di Tampin, Negeri Sembilan.

Dialah satu-satunya guru besar yang paling muda ketika itu tambahan pula belum berumah tangga. Niatnya hanya ingin berbakti kepada anak bangsa dalam urusan agama.

Kehadirannya di daerah itu disambut baik oleh penduduk kampung serta pelajar-pelajar di sana. Gelaran ‘Tuan’ dianggap cukup istimewa bagi mereka yang bergelar guru ketika itu. Lebih-lebih lagi anak muda ini fasih berbahasa Arab dan Inggeris. Kaya ilmu agama dan sangat tegas orangnya.


Rabu, 9 Januari 2013

Lemang Pos Laju

Seorang ustaz ke pasar tani membeli pelbagai barang dapur termasuklah sebatang lemang.Semasa membeli dia ditegur oleh seorang lelaki yang sedang duduk makan lemang dan rendang di gerai berkenaan. Lelaki itu mengenali ustaz tersebut kerana pernah menghadiri majlis pengajiannya. Sempat dia mengambil alamat ustaz tersebut atas tujuan untuk mudah bertanya hal-hal berkaitan agama.

Petang itu sedang ustaz menghadap hidangan berbuka puasa sunat Syawal, dia bertanya kepada isterinya, “mana lemang?”

 “Mana ada lemang,” jawab isteri kehairanan.

“Ada, pagi tadi saya ada beli sebatang.” “Tak ada…,” si isteri kebingungan. Maka berbukalah si suami dengan hidangan apa yang ada. Jauh di sudut hati tetap merasakan lemang itu tetap ada rezeki untuknya.

Dua hari berikutnya kelihatan posmen mundar-mandir di depan rumah. Lalu isteri ustaz itu keluar bertanya kalau-kalau ada yang boleh dibantu.

 “Kak, saya cari nama Ustaz Pauzi Awang?”

 “Rumah ni le…” “Anak akak ke?” tanya posmen. Isteri ustaz hanya mengangguk dengan tersenyum.

Tertera pada kotak selain alamat, sebuah nota: “Kepada Ustaz Pauzi, isteri, anak-anak dan keluarga, sila buka kotak ini hari ini juga.”

Ketika bungkusan itu sampai, Ustaz Pauzi tak ada di rumah. Bungkusan itu dirasakan berat. Masing-masing takut nak buka. Ada juga yang mengagak isi bungkusan itu lemang. Tapi ramai yang tak yakin.

Apabila ustaz pulang, mereka sekeluarga segera menyuruhnya membuka bungkusan itu. Alangkah terkejut semua yang ada, rupa-rupanya bungkusan yang berat itu memang berisi lemang. Dan ada nota di dalamnya, “Ustaz tertinggal barang ini, saya tolong simpankan.”

 Rupa-rupanya kenalan yang ditemui di gerai pasar tani Seksyen 17 itu yang mengirimkan bungkusan itu melalui pos laju. Bukan lemang saja malah disertakan juga dengan rendang. “Terima kasih, Shahnaz.”

Kata ustaz, sebaik mengetahui lemangnya tercicir, entah kenapa hatinya cukup yakin lemang itu pasti akan dapat jua. Berkat puasa di bulan Syawal, doa ketika berbuka itu Allah makbulkan. Antara waktu doa yang makbul ialah ketika berbuka iaitu antara azan dan iqamah. Sebab itu kita dituntut selepas berbuka dengan buah tamar, berdoalah yang baik-baik. Mudah-mudahan hidup kita diberkati.

 HANIM DAN FADZILAH 

 Pada hari terakhir majlis penutup Kem Hafazan Al-Quran anjuran majalah Asuh dan Aqrab, Ustaz Wan Bakar Wan Dagang, Pengarah Urusan Aqrab ketika makan tengah hari sempat bercerita pada kami, “Saya masih ingat lagi kenangan pada tahun 1987, ketika menganjurkan satu seminar di Genting Highlands, para peserta yang hadir suka sangat duduk di belakang-belakang. Lalu saya katakan kepada mereka, ‘Tuan-tuan dan puanpuan dijemput memenuhi kerusi yang kosong di depan ini sebab sebentar lagi penceramah bernama Hanim dan Fadzilah akan duduk di depan ini.’

” Semua peserta segera memenuhi bahagian depan. Acara hampir bermula, kelihatan para peserta seakan mencaricari sesuatu, meninjau-ninjau ke pintu utama.

“Ustaz, mana Hanim dan Fadzilah? Kenapa tak sampai-sampai lagi?”

“Yang di depan tuan-tuan dan puanpuan itulah Hanim dan Fadzilah.” Ustaz menunjukkan ke arah dua penceramah muda itu dengan senyum meleret. Terkejut semua yang hadir.Tidak disangka dua jejaka tampan yang masuk ke dewan baru sekejap tadi itu memiliki nama yang cukup unik, Mohd Hanim bin Mohd Tahir dan Mohd Fadzilah bin Kamsah.

 Dua puluh tahun sudah berlalu, kini Mohd. Hanim sudah bergelar Hj Mohd. Hanim dan Mohd. Fadzilah sudah bergelar Dato’ Dr. Hj Mohd. Fadzilah Kamsah. Kedua-dua rakan karib dan juga rakan kongsi perniagaan ini sudah terkenal. Mereka berjaya memotivasikan ribuan peserta pelbagai lapisan usia dan menubuhkan Excel Training & Consultancy berpusat di Bangi di bangunan setinggi tiga tingkat milik sendiri. Terkini sebuah pusat latihan bernama Excel Training Resort berkeluasan 16 ekar di Kampung Kapal, Broga, Ulu Beranang, Negeri Sembilan berjaya dibangunkan dengan duit titik peluh hasil ceramah yang disimpan berdikit-dikit tanpa membuat pinjaman dari bank.